Giacomo musnahkan harapan Napoli

Giacomo musnahkan harapan Napoli

MILAN, 23 Feb (AFP) – Giacomo Bonaventura menjaringkan gol penyamaan di babak pertama bagi mencerahkan peluang AC Milan untuk menyertai bola sepak Eropah musim depan selepas seri 1-1, sekali gus meranapkan harapan Napoli untuk menjulang gelaran Serie A, awal pagi ini.

Napoli menerima kunjungan Milan dengan harapan untuk mendominasi perlawanan bagi mengambil kesempatan terhadap pendahulu, Juventus yang seri kepada Bologna, Jumaat lalu.

Kejayaan itu bakal memberi mereka peluang memotong dan berada kembali ke puncak liga.

Tetapi, meskipun Lorenzo Insigne mencipta jaringan pembukaan pada minit ke-39 melepasi penjaga gol remaja, Gianluigi Donnarumma, Bonaventura berjaya menjaringkan gol penyamaan hanya lima minit kemudian.

Napoli mempunyai peluang terbaik untuk mendahului di babak kedua, tetapi Donnarumma beraksi cemerlang untuk menyelamatkan gawang.

Giacomo meraikan jaringan selepas berjaya merembat gol ke gawang pasukan lawan dalam perlawanan AC Milan menentang Napoli, sekali gus meranapkan harapan Napoli untuk menjulang gelaran Serie A. – Reuters
Giacomo meraikan jaringan selepas berjaya merembat gol ke gawang pasukan lawan dalam perlawanan AC Milan menentang Napoli, sekali gus meranapkan harapan Napoli untuk menjulang gelaran Serie A. – Reuters

Keputusan itu menyaksikan pasukan Napoli bimbingan Maurizio Sarri memperoleh keputusan seri kali keenam dalam musim ini yang menyebabkan mereka berada di kedudukan kedua liga, satu mata di belakang Juventus.

Milan kekal di kedudukan keenam, lapan mata di belakang pasukan tempat ketiga Fiorentina dalam peluang terakhir mendapatkan tempat ke Liga Juara-Juara.

Milan diberikan sambutan istimewa oleh penyokong Napoli, apabila satu laporan mengatakan bas pasukan Rossoneri dilempar batu dalam perjalanan mereka ke San Paolo.

Namun, insiden itu gagal menakutkan pasukan Sinisa Mihajlovic, dengan kini memperoleh 14 mata daripada enam perlawanan pembukaan tahun 2016, berbanding Juventus (18) dan Napoli (15).