Giat jalani latihan kecemasan

Giat jalani latihan kecemasan

MEKAH, 8 Sept – Pengendali operasi kereta api Makkah Metro, Prasarana Malaysia Berhad kini giat melakukan latihan dan pelbagai ujian kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa pengoperasiannya pada hari wuquf nanti.

Antara latihan dan ujian yang dilakukan itu melibatkan senario kegagalan sistem dan latihan kebakaran.

Ketua bahagian Kesihatan, Keselamatan, Kualiti, Alam Sekitar dan Jaminan untuk operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro, Shahrul Azhar Shamsuddin berkata ujian dan latihan itu turut diawasi rapi oleh TUV Rheinland Middle East, perunding yang dilantik Suruhanjaya Rel Arab Saudi (SRC).

“Latihan itu merangkumi pelbagai perkara, daripada permasalahan-permasalahan kecil daripada pintu platform yang tidak boleh dibuka kepada kegagalan sistem dan senario kebakaran di stesen, para petugas dilatih untuk mengendalikan keadaan bagi memastikan impak yang seminimum mungkin,” katanya di sini, hari ini.

Beroperasi selama 24 jam terus menerus selama tujuh hari mulai 7 Zulhijah (21 Sept) sehingga 13 Zulhijah itu, perkhidmatan rel Makkah Metro itu akan membawa jemaah haji melaksanakan ibadat-ibadat yang ditetapkan dalam Rukun Islam kelima itu.

Seramai 423 petugas Malaysia dari Prasarana, Express Rail Link (ERL) dan Kereta api Tanah Melayu akan memimpin lebih 7,000 pekerja tempatan bagi melaksanakan operasi tren, yang menghubungkan Mina, Muzdalifah dan Arafah, yang merupakan lokasi-lokasi rukun dan wajib dalam menyempurnakan ibadat haji.

Perkhidmatan tren itu dijangka membawa lebih dua juta jemaah haji melibatkan jemaah haji dari Afrika utara, Asia Selatan dan negara-negara Teluk.

“Berbeza dengan stesen-stesen di Kuala Lumpur, stesen-stesen Arafah 1, Arafah 2, Arafah 3, Muzdalifah 1, Muzdalifah 2, Muzdalifah 3, Mina 1, Mina 2 dan Mina 3 (Jamarat) mempunyai dua lapisan pintu platform bagi mengawal kemasukan dalam tren.

“Selepas melepasi lapisan pertama di kedua-dua belah Platform 1 dan Platform 2, mereka menunggu dalam ruangan khas antara dua lapisan pintu sebelum memasuki tren,” katanya.

Katanya, tindakan pantas para petugas amat penting kerana sebarang insiden kecil boleh menyebabkan gangguan kelancaran perjalanan tren.

Shahrul Azhar berkata satu latihan besar-besaran melibatkan Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi, polis dan agensi-agensi kerajaannya yang berkaitan turut dirancang diadakan pada 12 Sept ini.

Prasarana memperoleh kontrak operasi dan penyelenggaraan sepenuhnya laluan Makkah Metro dari Arafah ke Mina selama tiga tahun bermula tahun ini sehingga 2017. – Bernama