Giat pacu budaya bersih di Malaysia

Giat pacu budaya bersih di Malaysia

SEMPORNA, 24 Jan – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus giat melaksanakan beberapa inisiatif bagi memacu budaya kebersihan secara lebih meluas di negara ini.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohammad Mentek berkata SWCorp berperanan penting dalam melaksanakan pelbagai program promosi kebersihan dan kempen 3R (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula) termasuk Program Larian Kitar Semula di peringkat nasional dan Program Bank Kitar Semula di sekolah-sekolah seluruh negara sebagai pendedahan kepada masyarakat terutama generasi muda mengenai budaya kebersihan dan penjagaan alam sekitar yang betul.

“Sejak 2014, SWCorp turut memperkenalkan program penubuhan Kelab Kitar Semula Sekolah dan sehingga kini sebanyak 3,112 sekolah seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak menyertainya,” kata beliau ketika menyempurnakan majlis pelancaran penubuhan kelab kitar semula/alam sekitar sekolah di daerah Semporna, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Dr Zulkapli Mohamed. Pada majlis itu Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Panglima Abdullah dijadikan sekolah angkat SWCorp.

Dalam pada itu, Mohammad berkata dalam menangani masalah kebersihan dan alam yang semakin meruncing di negara ini, SWCorp turut melibatkan sektor pendidikan agar bersama-sama memainkan peranan dan menggalas tanggungjawab mendidik serta membentuk pelajar mengenai pembudayaan amalan kebersihan dan 3R.

“Antara strategi dirancang KPKT melalui SWCorp adalah berkolaborasi dengan pihak Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan Jabatan Pendidikan Tinggi bagi memberi pendedahan berkaitan Modul Kelab Kitar Semula kepada bakal-bakal guru sekolah menengah dan rendah,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA