Giatkan lagi pembangunan sektor pelancongan

Giatkan lagi pembangunan sektor pelancongan

KANGAR, 7 Dis – Dua badan bukan kerajaan (NGO) berharap kerajaan negeri mempergiatkan lagi pembangunan sektor pelancongan bagi menjadikan Perlis sebagai negeri persinggahan dan bukan sekadar laluan bagi pelancong.

Pada sidang akhbar di sini hari ini, Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (ETCPs) dan Majlis Perundingan Permuafakatan Pembangunan Negeri Perlis (MPPPNPs) menyatakan Perlis mempunyai banyak pusat pelancongan tetapi berpendapat ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Pengerusi ETCPs Dr Amar Hassan berkata setiap tahun jutaan pelancong masuk ke negeri ini sama ada melalui pintu masuk di Wang Kelian, Padang Besar atau Kuala Perlis, tetapi mereka hanya menjadikan Perlis sebagai laluan sahaja dalam perjalanan ke destinasi lain seperti Pulau Langkawi, Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

“Keadaan ini berlaku mungkin ada kelemahan tertentu sedangkan para pelancong terbabit boleh ditawarkan dengan pelbagai pakej menarik melawat tempat-tempat pelancongan di negeri ini.

“Ini menyebabkan negeri Perlis sekadar menjadi laluan pelancong sahaja, bukan negeri persinggahan,” katanya.

Pengerusi Politik MPPPPs Rosly Mat mencadangkan agar kerajaan negeri membangunkan Kuala Perlis sebagai pusat bebas cukai seperti Pulau Langkawi untuk menarik kedatangan pelancong.

Beliau yang pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berkata MPK pernah merancang untuk menjadikan Kuala Perlis sebagai Pusat Perdagangan tetapi sehingga kini tidak ada tindakan susulan dilakukan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA