Giggs kembali ‘sarung but’ di India

Giggs kembali ‘sarung but’ di India

Britain Soccer Man United GiggsNEW DELHI, 13 Julai – Legenda Manchester United dan Wales, Ryan Giggs (gambar), kembali beraksi di atas padang sebagai pemain bagi edisi sulung Futsal Perdana di India, yang bermula minggu ini, umum penganjur, hari ini.

Bintang Brazil, Ronaldinho dan bekas penyerang AC Milan, Hernan Crespo juga sudah menandatangani persetujuan untuk bermain di kejohanan yang bermula di Chennai, Jumaat ini.

Giggs, 42, baru-baru ini meletakkan jawatannya sebagai pembantu pengurus di Old Trafford berikutan ketibaan bekas pengendali Chelsea, Jose Mourinho ke kelab itu.

“Sejarah sedia untuk ditulis! Ryan Giggs, Ronaldinho dan Crespo kini sebahagian daripada keluarga Futsal Perdana!” tulis penganjur dalam laman Twitter, hari ini. Kejohanan yang menjadi produk francais berdasarkan kejohanan sukan terbaru di India itu akan menampilkan enam pasukan dengan format lima sebelah dan dimainkan di gelanggang tertutup.

Setiap pasukan akan diketuai oleh pemain terkemuka dengan Giggs akan mengemudi Mumbai, manakala legenda England, Paul Scholes, yang mengesahkan penyertaannya bulan lalu akan mengetuai Bangalore.

Giggs mengharungi kerjaya penuh gemilang bersama Manchester United di antara 1990 hingga 2014 dengan meledak 168 gol daripada 963 penampilan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA