‘Gigitan’ Suarez kian menjadi

‘Gigitan’ Suarez kian menjadi

BARCELONA, 3 Mei (AFP) – Luis Suarez merakamkan hatrik manakala Lionel Messi menyumbat gol ke-50 dan 51 dalam semua kejohanan, musim ini ketika Barcelona membaham pasukan tercorot, Cordoba 8-0 dalam saingan La Liga, Sabtu.

Kemenangan dengan angka jaringan besar itu memberi pasukan dari Catalan itu kelebihan lima mata ke atas Real Madrid yang bakal menentang Sevilla dalam perlawanan awal pagi ini.

Bagi Cordoba, kekalahan ke-17 itu sekadar menyaksikan mereka tersingkir ke liga bawah, musim depan.

“Sebelum gol pertama kami telah mencipta banyak peluang dan takut ia mungkin bukan hari kami,” kata bos Barca Luis Enrique.

“Jaringan daripada Ivan dan Luis membantu kami dan pada separuh masa kedua kami sangat berkesan di hadapan gol. Saya gembira kerana ia adalah tiga mata yang sangat penting.”

Trio ‘MSN’ meraikan jaringan Suarez semasa menentang Cordova untuk aksi La Liga di stadium Arcangel semalam. - Reuters
Trio ‘MSN’ meraikan jaringan Suarez semasa menentang Cordova untuk aksi La Liga di stadium Arcangel semalam. – Reuters

Messi membuka laluan kepada Ivan Rakitic untuk memulakan pesta gol untuk Barca pada minit ke-42 dan Suarez mendapatkan gol pertamanya pada minit ke-45 untuk kedudukan 2-0 babak pertama.

Selepas rehat, Dani Alves memberikan hantaran lintang kepada Messi pada minit ke-46 dan Suarez pada minit ke-53 untuk menambah dua gol hasil tandukan sebelum Gerard Pique menanduk masuk pada minit ke-65.

Messi, Neymar dan Suarez kemudian menyambung ledakan gol pada minit ke-80, 85 (penalti) dan 88 untuk menceriakan lagi penyokong mereka.

Untuk pertemuan dengan bekas bos Barca, Pep Guardiola dan juara Jerman, Bayern Munich dalam pusingan pertama separuh akhir Liga Juara, Enrique menurunkan barisan skuad yang paling kuat.

ARTIKEL YANG SAMA