Gilap potensi juruacara

Gilap potensi juruacara

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 10 Feb – Bagi kesempurnaan dan kelancaran sesuatu majlis, juruacara memainkan peranan penting dalam mengendalikan acara-acara rasmi negara, jabatan dan sebagainya.

Sehubungan itu, Radio Televisyen Brunei (RTB) mengendalikan Bengkel Juruacara Majlis bagi Daerah Tutong yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini, di Stesen RTB Daerah Tutong.

Perasmian bengkel yang disertai oleh lebih 20 peserta itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam, pada majlis yang berlangsung pagi tadi.

Ketua Latihan dan Perkembangan RTB, Dayang Salmah binti Awang Hussain semasa menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, bengkel yang julung-julung kalinya diadakan oleh RTB itu khusus bagi pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan di Daerah Tutong.

Haji Adnan (tengah) bersama para pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan.
Haji Adnan (tengah) bersama para pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan.
Dayang Salmah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Dayang Salmah ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Para pegawai RTB sebagai fasilitator yang berpengalaman dalam bidang pengacaraan ketika menyampaikan bengkel.
Para pegawai RTB sebagai fasilitator yang berpengalaman dalam bidang pengacaraan ketika menyampaikan bengkel.

Jelas beliau lagi, bengkel ini merupakan salah satu aktiviti latihan yang sangat penting selaras dengan usaha berterusan RTB dalam memberikan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman peserta yang hendak menceburi diri dalam bidang pengacaraan.

Selain itu, ia juga satu platform untuk mengembangkan dan menggilap potensi peserta dalam bidang pengacaraan, tambahnya lagi.

Bengkel ini merupakan usaha berterusan RTB untuk memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada peserta mengenai tatacara terasul, kaedah serta teknik penyediaan skrip, dan persediaan untuk menjadi seorang juruacara bagi mengendalikan majlis rasmi di jabatan masing-masing.

Ia dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari RTB sebagai pemudah cara yang berpengalaman dalam bidang pengacaraan sama ada di peringkat jabatan, kementerian dan acara-acara kenegaraan.

ARTIKEL YANG SAMA