Gild Siswazah mengadakan Bengkel Kemahiran dan kepimpinan

Gild Siswazah mengadakan Bengkel Kemahiran dan kepimpinan

Oleh Syahwal Nizam Haji Yani

 

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM – GILD siswazah mengadakan bengkel kemahiran dan kepimpinan iaitu “Integrated Teambuilding for Potentials and Workshop on Self Reflection and Problem Solving” atau secara ringkas dikenali sebagai “IT’S A WRAP”.

Porgram sehari ini telah dianjurkan oleh Gild Siswazah dengan kerjasama dan sokongan dari “Office of Alumni Relations and Advancement (OARA) dan “Centre of Networking, Employment & Career Training (CoNect)” berlangsung di Inspiring Hall, Pusat Pelajar Universiti Brunei Darussalam bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Program ini telah diikuti oleh seramai 70 orang mahasiswa-mahasiswi dan alumni UBD.

Objektif bengkel

Di antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan keyakinan diri alumni dan peserta dalam potensi diri mereka, mengenal pasti kemahiran kepimpinan yang cemerlang dan menyalurkan kemahiran pekerjaan dalam membangun kerjaya.

Fasilitator bengkel ini ialah Awang Iswandy Ahmad, alumni UBD sesi tahun 2005 dan 2009. Seorang fasilitator yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang profesionalisme belia, pembangunan belia dan motivasi belia. Beliau juga telah banyak meraih penghargaan di antaranya Anugerah Belia Cemerlang 2010, kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Awang Iswandy Ahmad, (kanan) alumni UBD sesi tahun 2005 dan 2009.
Awang Iswandy Ahmad, (kanan) alumni UBD sesi tahun 2005 dan 2009.
Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan keyakinan diri alumni untuk mempertingkatkan potensi diri mereka.
Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan keyakinan diri alumni untuk mempertingkatkan potensi diri mereka.

Menurut salah seorang peserta bengkel yang juga merupakan mahasiswa UBD dan salah seorang Majlis Perwakilan Pelajar bagi PMUBD, iaitu Awang Muhammad Najib bin Talib, “Program ini dapat memberi kesedaran tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan semasa mencari pekerjaan dan temu duga, memberi pandangan dan harapan baru yang positif kepada orang-orang yang masih menganggur.”

Ketua Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar PMUBD ini menambah lagi bahawa program seperti ini perlu diperluaskan lagi untuk memberi impak yang lebih positif terutama kepada orang yang sudah mempunyai ijazah.

Membantu masa hadapan yang baik

Manakala bagi perspektif salah seorang alumni UBD iaitu Dayang Nazihah Ibrahim yang mempunyai ijazah sarjana dalam pentadbiran, “Program ini memberi peluang untuk saya memperbaiki kekurangan dan perubahan yang baik untuk masa hadapan.” Tambahnya lagi program ini patut diadakan lagi pada masa hadapan kerana ia pasti dapat menolong belia-belia untuk belajar dan memperoleh masa hadapan yang baik.

Program ini kemudian diakhiri dengan majlis penyampaian sijil kepada peserta-peserta yang disampaikan oleh Yang Dipertua, Gild Siswazah iaitu Awang Muhammad Iskandar bin Md Hasnan. Gild siswazah telah merancang, menyusun dan telah mengadakan program-program yang bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran mahasiswa dan alumni UBD. Di antara tujuan Gild Siswazah ini ditubuhkan adalah untuk mengumpulkan graduan-graduan agar dapat memberi sumbangan kembali kepada universiti. Untuk mengetahui lebih lanjut informasi tentang Gild Siswazah, graduan-graduan atau alumni UBD boleh berhubung terus dengan Gild Siswazah melalui Facebook iaitu Ubd Gild Siswazah atau Instagram iaitu ubd_guildofgraduates atau terus sahaja ke pejabat Gild Siswazah yang terletak di bangunan Hal Ehwal Pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA