Giliran Arsenal tersingkir

Giliran Arsenal tersingkir

LONDON, 14 Mac (Reuters) – Juara bertahan, Arsenal tersingkir daripada saingan Piala FA selepas ditundukkan 2-1 oleh Watford di laman sendiri, sekali gus menamatkan hasrat mereka mencatat hatrik Piala FA tetapi Arsene Wenger yakin pasukan kendaliannya akan bangkit.

Jaringan daripada Odion Ighalo dan Adlene Guedioura pada babak kedua membolehkan Watford selesa mendahului 2-0 sebelum jaringan lewat permainan Danny Welbeck merapatkan jurang namun keputusan kekal 2-1 dengan The Gunners berdepan kemungkinan menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi.

Pasukan London Utara itu cuba menjadi pasukan pertama selepas Blackburn Rovers yang memenangi tiga Piala FA berturut-turut, namun sebaliknya yang terjadi apabila kekalahan itu menyaksikan mereka kini tewas tiga kali berturut-turut di laman sendiri sejak November 2002.

“Ianya sentiasa sukar, namun tugas kami ialah memastikan kami sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya,” kata Wenger kepada pemberita.

“Tiada kaitan dengan keyakinan. Keputusan sebelum ini tidak menunjukkan bahawa kami berdepan dengan masalah keyakinan tetapi kami beraksi menentang pasukan yang baik.

Arsenal terpaksa akur dengan kekalahan apabila tersingkir daripada saingan Piala FA selepas ditundukkan 2-1 oleh Watford di laman sendiri. – Reuters
Arsenal terpaksa akur dengan kekalahan apabila tersingkir daripada saingan Piala FA selepas ditundukkan 2-1 oleh Watford di laman sendiri. – Reuters

“Kami menunjukkan bahawa kami mampu bangkit kerana pasukan ini memiliki semangat yang kuat. Kami ada peluang yang baik untuk membuktikannya ketika menentang Barcelona nanti. Kami mahu tunjukkan bahawa tiada apa yang mustahil.”

Sementara Arsenal menghadapi musim yang tidak berapa menjadi, situasi sebaliknya pula yang berlaku kepada Watford. Meskipun mereka di tangga ke-14 dalam saingan liga dan hampir pasti untuk terus kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka kini hanya dipisahkan dengan dua perlawanan sahaja untuk merangkul Piala FA buat kali pertama.

“Ini adalah musim yang terbaik buat kami. Inilah kemenangan paling penting dalam karier saya,” kata pengurus Watford, Quique Flores yang memberitahu bahawa anak buahnya meraikan kemenangan itu di dalam bilik persalinan dengan muzik yang kuat.

“Saya tidak tahu lagu apa yang dinyanyikan, namun ianya tidak sesuai dengan citarasa lelaki berusia 51 tahun seperti saya.”