Giliran Kanchelskis pula kritik van Gaal

Giliran Kanchelskis pula kritik van Gaal

LONDON, 4 Nov (Agensi) – Selepas Paul Scholes menghamburkan kritikan pedas kepada Louis van Gaal, kini giliran bekas pemain sayap Manchester United, Andrei Kanchelskis menyifatkan taktik permainan yang diserapkan pengendali dari Belanda itu sebagai sangat mengarut.

Kanchelskis berkata demikian selepas menyaksikan United yang berada di tangga keempat kedudukan Liga Perdana England kekal lesu mencipta gol kemenangan terutama pada tiga aksi saingan terakhir dalam semua kempen yang disertai sebelum ini.

Selain itu, Kanchelskis turut mengkritik van Gaal kerana gagal menjamin kemenangan United ketika aksi seri 1-1 tanpa gol kemenangan ke atas CSKA Moscow pada saingan Liga Juara-Juara yang diharungi pasukan itu bulan lalu.

“Terlalu mustahil untuk United memenangi sebarang perlawanan dengan gol yang bukan sekadar seri. Saya kerap berada di tempat duduk stadium ketika menyaksikan United beraksi.

Gambar fail menunjukkan aksi Andrei Kanchelskis tatkala di era kegemilangannya bersama Manchester United. – Reuters
Gambar fail menunjukkan aksi Andrei Kanchelskis tatkala di era kegemilangannya bersama Manchester United. – Reuters

“Saya terkejut melihat United semakin teruk. Kawalan bola memang bagus, tapi setiap percubaan tidak pernah tepat dan ia tidak tajam, ia tumpul. Bagi saya, United tidak berada pada tahap sebenar sejak van Gaal membuat banyak kerja mengarut.

“United sebelum ini adalah pasukan yang pantas dan berupaya melakukan hantaran tepat, tetapi semua itu sudah tidak boleh kita lihat lagi pada masa ini.

“Van Gaal terlalu pragmatik. United jadi teruk sebab van Gaal selalu mengarut. Dia menyebabkan para pemain jadi robot. Pemain dibiarkan pada tahap sedia ada dan van Gaal langsung tidak melakukan sesuatu untuk meningkatkan prestasi mereka. Dia tidak melatih pemain seperti pernah dilakukan Alex Ferguson,” tegas Kanchelskis. Kanchelskis bagaimanapun mengakui van Gaal masih merupakan pengurus yang baik, namun menyifatkan jurulatih dari Belanda itu sebagai bukan individu tepat untuk United.