Giliran Shah United kuasai perlawanan

Giliran Shah United kuasai perlawanan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Penguasaan puncak Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 berterusan bertukar tangan apabila selepas aksi Jumaat, 20 Mei, Shah United FC pula menghuninya dengan kelebihan tiga mata daripada pesaing terdekatnya.

Shah United FC bangkit dari ketinggalan 0-4 untuk keluar berehat selepas separuh masa pertama mendahului 5-4 menerusi kebangkitan menakjubkan pada lima minit terakhir babak pertama, sebelum kedua-dua pasukan menambah satu lagi jaringan pada babak kedua untuk keputusan muktamad Shah United FC menang 6-5.

First Five FT mendahului 2-0 selepas enam minit sepak mula menerusi jaringan Abdul Muiz pada minit ke-5 dan kemudiannya Abdul Momin pada minit ke-6. Mohd Fakhrul menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-10 sebelum Awang Alimin menambah jaringan menjadi 4-0 tiga minit kemudian.

Kebangkitan Shah United FC bermula dengan dua penalti berturut-turut pada minit ke-16 dan 17 akibat bola terkena tangan pemain First Five FT di dalam petak sendiri. Penalti pertama disudahkan baik oleh Mohd Safwan, manakala yang dikedua disempurnakan oleh Awangku Asrul.

Pada kedudukan 2-4 itu, Shah United FC mula menghidu peluang mengejar dan Awangku Asrul tidak menunggu lama untuk gol peribadi keduanya yang hadir pada minit ke-18 untuk jaringan berubah menjadi 3-4.

Shah United FC (putih) ketika meraikan gol kelima mereka yang dijaringkan oleh Mohd Safwan (kiri) menerusi sepakan penalti 10m.
Shah United FC (putih) ketika meraikan gol kelima mereka yang dijaringkan oleh Mohd Safwan (kiri) menerusi sepakan penalti 10m.

Abdul Khabir menyamakan kedudukan pada minit ke-19 dan kemudiannya Mohd Safwan menyudahkan baik sepakan penalti 10 meter yang dihadiahkan kepada Shah United FC selepas First Five FT melakukan foul keenamnya untuk membawa pasukannya di depan buat pertama kalinya.

Selepas rehat perlawanan agak hambar berbanding babak pertama yang menghidangkan sebanyak sembilan gol. Penonton hanya disajikan dengan dua gol, pertama oleh Mohd Ulfi selepas dua belas minit babak pertama bermula untuk membawa Shah United FC mendahului 6-4, manakala yang kedua oleh Mohd Amirul Azmi untuk First Five FT pada minit ke-37.

Dalam aksi awal pada Jumaat malam itu, MS ABDB mengutip tiga mata penuh menerusi kemenangan 5-3 ke atas pasukan tercorot, BIO FT untuk kekal di tangga keempat liga dengan sembilan mata.

Pada sebelah petangnya, Kota Junior menang 5-1 ke atas Rizfiz FT untuk merampas takhta liga buat sementara waktu dari PBDB FT.

Shah United kini mengumpul 12 mata dari empat perlawanan di puncak, manakala Kota Junior jatuh ke tempat kedua dengan sembilan mata dari tiga permainan tetapi dengan kelebihan +16 perbezaan gol dari 20 jaringan berbalas empat bolos. PBDB FT yang tidak beraksi jatuh ke tempat ketiga dengan sembilan mata dari empat perlawanan dengan catatan 22 jaringan dan 12 bolos.