Giroud buktikan diri selepas dipinggir

Giroud buktikan diri selepas dipinggir

LONDON – Penyerang Arsenal, Olivier Giroud berdepan dengan penantian yang mendebarkan untuk mengetahui sama ada jaringan penyamaannya di minit akhir ketika menentang Manchester United itu cukup untuk membawanya kembali ke dalam kesebelasan utama Arsene Wenger secara kekal.

Disebabkan persembahan yang tidak menentu selama ini, Giroud telah menjadi pemain yang semakin terpinggir dalam pelan Arsene Wenger, tetapi berharap akan diberikan peluang untuk mendiamkan para pengkritiknya dalam pertembungan Liga Juara-juara menentang Paris Saint Germain minggu ini.

Sejumlah besar penyokong Arsenal mahu Giroud dijual sahaja dan bos Gunners, Wenger, kelihatannya sudah hilang kepercayaan terhadapnya. Itu dikuatkan lagi selepas Wenger lebih memilih Alexis Sanchez untuk menjadi penyerang utamanya bagi sebahagian besar musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu masim belum memulakan perlawanan Liga Perdana musim ini dan mungkin sudah terasa bimbang mengenai masa depannya.

Namun Giroud kelihatannya tidak mudah mengaku kalah, dan melakukan sedaya upayanya menunjukkan bahawa beliau layak untuk terlibat dalam banyak perlawanan sebagai pemain kesebelasan utama.

Mungkin Giroud kehilangan sokongan daripada peminat Arsenal, tetapi beliau tetap disokong oleh rakan sepasukannya. – AP
Mungkin Giroud kehilangan sokongan daripada peminat Arsenal, tetapi beliau tetap disokong oleh rakan sepasukannya. – AP
Olivier Giroud berharap mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang PSG bagi perlawanan Liga Juara-juara  minggu ini. – AP
Olivier Giroud berharap mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika menentang PSG bagi perlawanan Liga Juara-juara minggu ini. – AP

Beliau telah menjaringkan empat gol dalam empat penampilan terakhirnya, termasuk tandukan hebat di saat-saat akhir yang berjaya menyelamatkan Arsenal daripada tewas kepada Manchester United baru-baru ini.

Jaringan penting Giroud ke atas Manchester United datang selepas beliau menjaringkan dua gol sebagai pemain gantian ketika kemenangan 4-1 ke atas Sunderland, selepas pasukannya dibolosi jaringan penyamaan.

Beliau juga telah menjaringkan gol penyamaan dalam kemenangan Liga Juara-juara di Ludogorets selepas mereka ketinggalan 2-0 kepad pasukan tersebut.

Ironiknya, saat paling terburuknya musim ini adalah ketika perlawanan di Perancis, apabila beliau diarahkan keluar pada minit-minit akhir dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 menentang Paris Saint Germain.

Kini gergasi Perancis itu tiba di Emirates di saat Giroud kelihatannya mampu menterbalikkan semula kemerosotannya.

Mungkin Giroud telah kehilangan sokongan dalam kalangan peminat Arsenal, beliau tetap disokong oleh rakan sepasukannya.

Pemain yang mempunyai impak

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, memang sedar dengan kualiti Giroud dan percaya bahawa beliau masih mampu membuktikan dirinya sebagai pemain yang mempunyai impak.

“Kadangkala, saya fikir orang lain tidak sedar dengan kualiti Giroud, kerana beliau bekerja untuk pasukan,” kata Cech.

“Beliau sangat berguna ketika memulakan perlawanan, tetapi beliau juga berguna sebagai pemain gantian. Beliau boleh memberikan perbezaan dalam mana-mana perlawanan.

“Beliau seorang pemain yang sangat penting untuk kami. Dan beliau buktikan itu sekali lagi ketika menentang United meskipun beliau tidak memulakan perlawanan sebagai pemain kesebelasan utama, beliau sentiasa bersedia.”

Arsene Wenger kelihatan sudah hilang kepercayaan terhadap Giroud.
Arsene Wenger kelihatan sudah hilang kepercayaan terhadap Giroud.

Arsenal nampaknya kurang berkesan dalam empat perlawanan Liga Perdana kebelakangan ini, dengan tiga keputusan seri.

Tetapi di Eropah mereka sudah layak ke peringkat kalah mati dengan masih berbaki dua perlawanan kumpulan.

Itu bermakna mereka boleh memberikan tumpuan sepenuhnya ke atas Paris Saint Germain bagi penentuan juara kumpulan.

Pada masa ini Arsenal berkongsi mata dengan gergasi Perancis itu, Arsenal pasti berminat untuk menjuarai kumpulan dan meningkatkan peluang mereka bagi mengelakkan kesukaran peringkat 16 pasukan terakhir.

Wenger menggariskan kepentingan untuk mengembalikan momentum kemenangan bagi merangsang harapan mereka bagi kejuaraan domestik dan Eropah.

“Saya fikir untuk mendapatkan kembali momentum kemenangan, itu sangat penting,” katanya.

“Kami boleh menerima satu mata menentang United, tetapi kami telah memperoleh terlalu banyak keputusan seri pada ketika ini dan dengan tiga mata untuk satu kemenangan, anda tidak boleh mendapat keputusan seri terlalu banyak.

“Adalah penting untuk kami kembali mendapat kemenangan. Jika anda ketinggalan 1-0, kemudian berjaya menjadikannya 1-1 pada saat-saat akhir, rasanya lebih daripada seri, itu memang pasti.

“Tetapi saya harap ia juga boleh menguatkan kepercayaan dalam skuad bahawa tidak kira apa sahaja terjadi, kami tetap boleh kembali.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA