Giroud di kemuncak prestasi

Giroud di kemuncak prestasi

BIRMINGHAM, 15 Dis (AFP) – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memuji Olivier Giroud selepas penyerang Perancis itu membantu skuad bimbingannya mencipta kemenangan 2-0 ke atas pasukan bermasalah, Aston Villa, semalam.

Giroud meledakkan gol ke-50 dalam Liga Perdana Inggeris menerusi sepakan penalti di awal permainan yang sekali gus meletakkan Gunners di kedudukan teratas di Villa Park, empat hari selepas pemain itu melakar hatrik pertamanya ketika membenam Olympiakos 3-0 untuk mara ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara.

Pemain antarabangsa Perancis itu yang berada pada prestasi terbaik kini kembali menemui sentuhan jaringan apabila meledak 11 gol dalam 13 perlawanan terakhir bagi menerajui Arsenal memburu kegemilangan di pentas domestik dan Eropah.

“Saya percaya Olivier kini berada pada prestasi terbaiknya. Kadang kala kemampuannya dipersoalkan, tetapi semakin ramai yang menyedari dia merupakan pemain berkualiti.

“Saya rasa dia berjaya mempamerkan peningkatan dari segi teknikal dan kerjasamanya bersama rakan sepasukan juga semakin bagus. Dia mungkin tidak memiliki larian yang laju dan dia gemar memainkan peranan sebagai penyerang di depan pintu gol.

Giroud meraikan kemenangan Arsenal selepas membenam Aston Villa 2-0 di Villa Park, kelmarin. – Reuters
Giroud meraikan kemenangan Arsenal selepas membenam Aston Villa 2-0 di Villa Park, kelmarin. – Reuters

“Mungkin dia bukanlah pemain yang hebat beraksi secara individu. Tetapi dia sangat efisien dan merupakan pemain penting untuk pasukan ini. Mental dia juga begitu mantap,” kata Wenger.

Selepas Giroud menyempurnakan sepakan penalti (minit kelapan), midfield Wales, Aaron Ramsey menyumbat gol kedua pada minit ke-38 bagi memberikan Arsenal kemenangan yang membolehkan mereka memintas Man City dan Leicester City.

“Minggu ini cukup hebat buat kami. Tetapi jangan bimbang, saya juga telahpun mengharungi minggu yang buruk, jadi ia kini kembali seimbang.

“Saya agak bimbang hari ini (kelmarin) kerana telah bermain habis-habisan pada perlawanan malam Rabu dan kami pulang ke tanah air agak lewat iaitu pada pagi Khamis.

“Saya tahu Villa sedang berjuang untuk meneruskan cabaran, jadi amat penting menjaringkan gol pendahuluan menentang sebuah pasukan yang memiliki keyakinan yang rendah.

“Dalam babak kedua kami semakin yakin dan berjaya mengawal benteng pertahanan dengan baik. Mungkin kami bertuah dengan satu atau dua peluang ke atas Villa, tetapi secara keseluruhan persembahan yang dipamerkan sentiasa berada dalam kawalan,” ujar warga Perancis itu.