Giroud lengkapkan kebangkitan Gunners

Giroud lengkapkan kebangkitan Gunners

BOURNEMOUTH, 4 Jan – Olivier Giroud telah menjaringkan gol penyamaan di dalam masa kecederaan apabila Arsenal bekerja keras daripada ketinggalan 3-0 untuk membuat kebangkitan dramatik 3-3 di Bournemouth semalam.

Dua jaringan dalam separuh masa pertama daripada Charlie Daniels dan Callum Wilson, diikuti dengan jaringan ketiga Ryan Fraser sejurus memasuki separuh masa kedua, kelihatannya Bournemouth berada di landasan untuk kemenangan pertama mereka ke atas Arsenal.

Tetapi Alexis Sanchez dan Lucas Perez menemui sasaran mereka sebelum Giroud menanduk masuk jaringan lewat bagi melengkapkan kebangkitan menarik Arsenal dalam 20 minit terakhir.

Meskipun dengan kebangkitan itu, Arsenal telah tercicir mata bagi memburu pendahulu liga dan kini ketinggalan lapan mata di belakang Chelsea, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan menentang Tottenham Khamis ini.

Arsenal sekali lagi tanpa khidmat Mesut Ozil disebabkan sakit, dengan Arsene Wenger mendakwa bintang Jerman itu terdampar di atas katil dalam seminggu kebelakangan ini.

Olivier Giroud (12) menanduk masuk gol penyamaan dalam kebangkitan dramatik aksi Liga Perdana Arsenal menentang Bournemouth di Stadium Vitality semalam. – AP
Olivier Giroud (12) menanduk masuk gol penyamaan dalam kebangkitan dramatik aksi Liga Perdana Arsenal menentang Bournemouth di Stadium Vitality semalam. – AP

Bournemouth membuat serangan awal dan di minit ke-16 usaha mereka berhasil apabila Daniels menggelecek melepasi Hector Bellerin dan merembat kencang menggunakan kaki kiri.

Beberapa minit kemudian, jaringan menjadi 2-0 apabila Bournemouth mendedahkan kelemahan pertahanan Arsenal.

Dalam serangan balas, Fraser telah dijatuhkan oleh Granit Xhaka di dalam petak penalti dan dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Michael Oliver.

Wilson menyempurnakan sepakan penalti ini dan Bournemouth selesa mendahului 2-0 sehingga separuh masa pertama tamat.

Di separuh masa kedua, Bournemouth menambah jaringan kepada 3-0 apabila Bellerin ditewaskan oleh Fraser dalam perebutan bola, pemain sayap itu kemudian meluru ke gawang membuat percubaan rendah melepasi celah kaki Petr Cech.

Bagaimanapun, Arsenal tidak berputus asa dan ia berbaloi apabila mereka berjaya menembusi gawang Bournemouth di minit ke-70 hasil tandukan tajam Sachez.

Dan pemain gantian Arsenal Perez kemudiannya menghasilkan satu voli yang menarik menewaskan Artur Boruc.

Pasukan tuan rumah semakin bergelut menahan serangan Arsenal apabila Simon Francis dibuang padang akibat terjahannya ke atas Ramsey.

Giroud sekali lagi menjadi wira Arsenal apabila menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan hasil hantaran lintang Xhaka bagi sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA