Giroud pemain terbaik

Giroud pemain terbaik

PARIS, 4 Julai – Dua gol sumbangan Olivier Giroud menobatkannya sebagai pemain terbaik perlawanan selepas membantu Perancis membelasah Iceland 5-2, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Les Bleus menempah tiket ke separuh akhir Euro 2016 dan akan berdepan juara dunia, Jerman.

“Kami menjaringkan lima gol, kami amat berpuas hati tetapi Iceland tidak pernah berputus asa. Mereka berjuang dengan keberanian yang tinggi,” kata penyerang Arsenal itu.

“Saya mahu memberi penghormatan kepada mereka. Mereka mengharungi kejohanan Euro yang menarik,” kata Giroud sambil menambah perlawanan itu adalah yang terbaik buatnya bersama skuad Perancis.

Giroud meledakkan gol pembukaan buat pasukan Perancis hanya 12 minit selepas permainan bermula di Stade de France.

Bintang Arsenal itu menjaringkan gol kedua peribadi selepas rehat untuk tuan rumah menyingkirkan skuad pembunuh gergasi yang mengejutkan England 2-1, sebelum ini.

Giroud meraikan kejayaan selepas menjaringkan satu lagi gol pada perlawanan suku akhir Euro 2016 antara Perancis dan Iceland di Stade de France di Saint-Denis, semalam. - AFP
Giroud meraikan kejayaan selepas menjaringkan satu lagi gol pada perlawanan suku akhir Euro 2016 antara Perancis dan Iceland di Stade de France di Saint-Denis, semalam. – AFP

Paul Pogba menanduk masuk gol pertamanya dalam kejohanan sebelum Dimitri Payet dan Antoine Griezmann meledak gol ketiga dan keempat Perancis.

Iceland bagaimanapun sekali lagi menunjukkan semangat tidak berputus asa yang tinggi.

Kolbeinn Sigthorsson dan Birkir Bjarnason berjaya memecahkan benteng pertahanan Perancis, namun Giroud pantas menyekat kebangkitan lawannya itu.

Skuad bimbingan Didier Deschamps itu akan menentang Jerman di Marseille, Jumaat ini untuk merebut tempat di final, manakala Iceland akan pulang sebagai wira selepas prestasi yang luar biasa dalam penampilan pertama mereka di kejohanan utama.

“Jerman adalah pasukan terbaik, tiada keraguan tentang itu, walaupun Itali memberikan mereka sedikit ketakutan. Tetapi kami berada di sana, dalam perlawanan empat terakhir dan kami akan melakukan segala-galanya,” kata Deschamps. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA