Glass Town : Bandar ilusi penuh misteri

ULASAN BUKU OLEH RAZ AS

 

NOVEL Glass Town adalah sebuah novel mengenai ketaksuban dan percubaan seorang lelaki untuk mengungkai misteri yang telah menghancurkan hidup datuknya, berlatar belakangkan suasana bandar yang penuh magis dan rumit.

Steven Savile adalah seorang penulis yang dikenali di seluruh dunia, yang telah mencatatkan rekod jualan yang tinggi bagi novel-novelnya dan juga pernah terbabit dalam penulisan skrip rancangan televisyen terkenal seperti Dr. Who, Torchwood dan Stargate.

Kini Steven memulakan debutnya di Amerika Syarikat bersama dengan karyanya Glass Town, sebuah novel yang berkisar mengenai magis dan misteri di London.

Pada tahun 1926, dua orang adik-beradik telah jatuh cinta kepada Eleanor Raines, seorang pelakon muda harapan dari East End, London. Namun bersama-sama dengan Seth Lockwood, dia telah menghilangkan diri dan tidak pernah dilihat lagi di khalayak ramai. Isaiah, adik lelaki Seth, enggan menerima kenyataan bahawa Eleanor sudah tiada.

Seakan-akan seperti Weaveworld karya Clive Barker dan American Gods karya Neil Gaiman, Glass Town yang dihasilkan oleh Steven Savile dipenuhi dengan latar belakang urban, karakter-karakter realistik, konflik, rahsia, pengkhianatan, magis dan misteri.

Tujuh puluh tahun telah pun berlalu dan kedua-dua beradik itu sudah lama meninggal dunia. Namun kini rahsia gelap mereka bakal memporak-perandakan bandar itu.

Seth pernah membuat perjanjian bersama Damiola, seorang pakar ilusi, untuk membuatkan helah paling terkenalnya menjadi kenyataan, dan menyembunyikan sebahagian daripada kota London untuk menjadi penjara yang mempunyai masa yang tidak sejajar, di mana satu tahun akan berlalu seperti 100 tahun.

Glass Town, itulah bandar yang terhasil daripada ilusi itu, dan kini dindingnya mulai runtuh.