GLC digesa pe...

GLC digesa perkembang organisasi

KOTA KINABALU, 16 Mei – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah perlu terus mengamalkan sistem tadbir urus yang baik dalam menjana perniagaan serta pelaburan bagi memajukan lagi organisasi mereka.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata prinsip tadbir urus yang baik adalah penting demi memastikan kejayaan dalam sesebuah organisasi.

“Tanpa ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan kewangan yang teratur, organisasi akan bermasalah dan seterusnya membuka jalan untuk kegagalan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin ketika merasmikan Pusat Perindustrian Perbadanan Pembangunan Borneo (BDC) Putatan, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin (dua, kanan) kagum melihat model kawasan pembangunan rumah kedai projek BDC Industri Center Putatan selepas melancarkan projek itu kelmarin. – Bernama
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin (dua, kanan) kagum melihat model kawasan pembangunan rumah kedai projek BDC Industri Center Putatan selepas melancarkan projek itu kelmarin. – Bernama

Pusat Perindustrian BDC Putatan merupakan projek pembinaan 27 rumah kedai perindustrian ringan yang dilaksanakan syarikat GLC di Sabah, BDC (Sabah) Sdn Bhd, sekali gus menunjukkan syarikat itu terus mencatatkan pencapaian kukuh.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata BDC memainkan peranan penting bukan sahaja dalam pembangunan hartanah, tetapi juga dalam bidang perkhidmatan kewangan dan pelaburan, iaitu selaras dengan objektif kerajaan negeri.

“Justeru, kerajaan memuji dan mengiktiraf sumbangan BDC dalam membangunkan ekonomi di negeri ini,” katanya. – Bernama