Gleneagles JPMC betulkan rentak jantung pesakit luar negara

Gleneagles JPMC betulkan rentak jantung pesakit luar negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Julai – Pusat Perubatan Gleneagles JPMC kelmarin menerima pesakit luar negara pertamanya yang telah berjaya menjalani prosedur khusus jantung selama dua jam untuk membetulkan rentak jantungnya yang tidak normal.

Pesakit warga Malaysia itu, Bonaventure bin Kuropong, 32, telah dirujuk ke Gleneagles JPMC dari Hospital Gleneagles Kota Kinabalu. Bonaventure dibenarkan keluar petang ini, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Gleneagles JPMC hari ini.

Perunding Kardiologi Kanan di Gleneagles JPMC, Dr. Sofian bin Dato Paduka Dr. Haji Johar yang melakukan prosedur itu berkata, para pesakit yang mengalami keadaan seperti itu berisiko mengalami kematian mengejut.

“Justeru, adalah penting kami membetulkan keadaan tidak normal itu secepat mungkin.”

Prosedur tersebut melibatkan mengenal pasti laluan elektrik yang tidak normal dalam jantung pesakit dan memisahkan laluan ini untuk mengembalikan rentak biasa jantung, jelas beliau.

Dr. Sofian, Dr. Peter Tay bersama pasukan yang terlibat melakukan prosedur membetulkan rentak jan-tung pesakit dari Sabah, Bonaventure.
Dr. Sofian, Dr. Peter Tay bersama pasukan yang terlibat melakukan prosedur membetulkan rentak jan-tung pesakit dari Sabah, Bonaventure.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr. Peter Tay pula berkata; “Pusat jantung kami cukup lengkap untuk mengendalikan kes-kes rumit seumpama ini. Sebenarnya Gleneagles JPMC adalah satu-satunya pusat di Borneo yang mampu merawat dan menangani kerumitan rentak jantung yang tidak normal menggunakan imej tiga dimensi untuk mengatur kegiatan elektrik jantung,” katanya.

Menurut Dr. Peter Taym, kes rujukan dari Sabah itu boleh dilakukan kerana hubungan rapat dengan hospital di Kota Kinabalu.

“Kami berharap dengan prosedur yang telah berjaya ini, lebih banyak kes-kes kompleks seperti ini akan dirujuk ke Brunei bagi penjagaan jantung pada masa akan datang.”

Bonaventure ketika ditanya tentang pengalamannya tersenyum sambil berkata, beliau kagum dengan kemudahan dan kepakaran yang ada di Brunei Darussalam.

“Saya bersyukur kepada syarikat saya di atas sokongan mereka dan kepada doktor di Gleneagles KK yang merujuk saya ke Brunei untuk menjalani prosedur ini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA