GM tidak berhasrat bergabung dengan Fiat

GM tidak berhasrat bergabung dengan Fiat

DETROIT, 10 Jun (AFP) – Ketua eksekutif General Motors (GM), Mary Barra mengetepikan desas-desus mengenai satu penggabungan dengan Fiat Chrysler Automobiles semalam, sambil menyatakan pengeluar kereta Amerika Syarikat itu tidak perlu menambah saiznya menerusi pemerolehan.

“Kami mempunyai skala. Kami berada di tingkat teratas,” jawab beliau kepada soalan mengenai pendekatan daripada ketua FCA Sergio Marchionne.

“Cara terbaik untuk menambah nilai saham GM adalah mengikut pelan peningkatan dalaman syarikat sendiri.”

Barra mengesahkan syarikat telah menerima satu e-mel daripada Marchionne mencadangkan rundingan mengenai kemungkinan gabungan.

“Ia disemak dengan pengurusan dan lembaga kami,” kata beliau.

Ketua eksekutif General Motors, Mary Barra. – Reuters
Ketua eksekutif General Motors, Mary Barra. – Reuters

Namun syarikat, yang menjangka menjual lebih daripada 10 juta kereta dan trak di seluruh dunia pada tahun ini, berkata ia boleh mencatat prestasi yang baik dengan strateginya sendiri untuk pertumbuhan.

“Kami mempunyai satu pelan. Kami menunjukkan pertumbuhan margin yang kukuh. Kami sedang melabur dalam teknologi. Kami menghasilkan pulangan industri berdasarkan modal yang dilabur. Kami mempunyai skala dan mengambil kesempatan ke atas skala tersebut,” kata Barra.

“Kami mahu melakukan apa yang betul untuk pemegang saham kami. Itulah tumpuan kami.”

Pada bulan lalu, Marchionne, yang mengatur gabungan Fiat dan Chrsyler, berkata beliau menjangka lebih banyak gabungan dalam industri kereta, tetapi tidak mengesahkan pada masa itu bahawa beliau mencadangkan rundingan dengan GM.

Wall Street Journal melaporkan semalam bahawa Marchionne kini cuba mendapatkan dana pelaburan untuk membantu memberi lebih banyak tekanan kepada GM untuk menimbang bergabung dengan FCA, yang mengeluarkan 4.6 juta kenderaan pada tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA