Go Auto sedia pacu jenama Haval di pasaran serantau

Go Auto sedia pacu jenama Haval di pasaran serantau

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Go Auto Group of Companies, penggiat automotif Malaysia, bersedia memperluaskan pasaran luar negara bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Haval, seiring dengan kapasiti pembuatannya yang kini mampu menyokong pengembangan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif, Azam Sulaiman berkata pihaknya menjual 1,000 unit SUV Haval kepada Thailand dan Kemboja tahun lepas.

Syarikat turut memulakan usaha pemasaran di Brunei selain berunding dengan beberapa pihak di Myanmar, Vietnam dan Indonesia, katanya.

Go Auto, ditubuhkan pada 2013, dilantik oleh Great Wall Motors (GWM) berpangkalan di China sebagai pembuat serta pengedar tunggal SUV Haval dan rangkaian kenderaan GWM di Malaysia dan ASEAN.

“Kami mahu menjadi hab SUV di sini dan juga ASEAN, kami yakin permintaan terhadap SUV akan sentiasa meningkat.

“Fasa kedua perluasan kilang kami akan menggandakan kapasiti pembuatan kepada 50,000 unit setiap tahun mulai akhir 2017, berbanding 24,000 unit setiap tahun ketika ini, sudah pasti ini akan menyokong rancangan kami untuk mendapatkan penguasaan pasaran SUV yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.

ASEAN merupakan pasaran automotif strategik utama manakala Indonesia dan Thailand memiliki pasaran lebih luas yang menarik berbanding Malaysia untuk ditembusi, kata Azmam dengan menambah, Go Auto merasakan potensi eksport jangka pendeknya adalah negara membangun baharu seperti Kemboja, Myanmar dan Filipina.

Beliau, bagaimanapun, menjelaskan setiap negara ASEAN mungkin mempunyai dasar automotif masing-masing namun beberapa negara masih membuat permintaan bagi SUV pemasangan tempatan (CKD).

“Pada masa yang sama, kami lebih cenderung untuk mengeksport SUV yang diimport sepenuhnya (CBU) dengan memanfaatkan langkah pembukaan pasaran untuk sektor automotif di bawah Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

“Bagaimanapun, kami menyedari bahawa beberapa negara mungkin mensyaratkan supaya diuraikan, justeru itu, kami akan membina kilang pengeluaran di negara berkenaan,” katanya.

Azam berkata kilang Go Auto di Kulim, Kedah direka sebagai kilang pembuatan bersifat fleksibel yang tidak akan mengalami kapasiti berlebihan malah berupaya dan bersedia mengeluarkan 2,000 unit SUV sebulan sebaik sahaja permintaan serantau meningkat.

Go Auto telah menjual 1,900 unit SUV Haval dalam pasaran domestik setakat ini.

Syarikat itu mencatat sejarah dalam industri automotif tempatan apabila menjadi entiti pertama dianugerahkan lesen pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Dasar Automotif Na-sional 2014.

Ia memperkenalkan SUV kompak 1.5 liter, ‘M4’, sebuah EEV di bawah kategori enjin pembakaran dalaman, yang memasuki pasaran Malaysia tahun lepas.

‘M4’ meraih tarikan daripada peminat SUV di negara ini apabila ia menerima lebih daripada 1,600 tempahan tahun lepas, kata Azam.

Beliau berkata jenama ‘Haval’ bersedia untuk memperoleh sebahagian besar pasaran SUV tempatan tahun ini dengan pengenalan model terkininya baru-baru ini – ‘Haval H2’, SUV dengan 1.5 liter dikuasakan oleh enjin turbo.

“Kami yakin dengan kehadiran model ‘M4’ dan terbaru ‘H2’, kami mampu memperoleh lebih daripada 6,000 tempahan tahun ini.

“Berdasarkan tawaran harga kurang daripada RM100,000 seunit, ‘Haval H2’akan menjadi antara SUV paling berdaya saing dari segi harga dalam pasaran. Model ‘Haval H2’ pula pastinya memperluaskan tawaran produk kami yang akan memenuhi gaya hidup dan keperluan segmen pasaran lebih luas,” kata Azam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA