Goetze wira Jerman benam Itali

Goetze wira Jerman benam Itali

MUNICH, 30 Mac (AFP) – Mario Goetze menamatkan musim yang mengecewakan berada di bangku simpanan Bayern Munich apabila membantu Jerman meraih kemenangan 4-1 ke atas Itali, awal pagi tadi untuk juara dunia itu menebus kekalahan kepada England.

Goetze, yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014 meledak gol kedua Jerman menentang Itali di Arena Allianz, Bayern Munich selepas Toni Kroos meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

Pemain pertahanan Jonas Hector dan pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil menjaringkan gol pada babak kedua sebelum pemain gantian Stephan El Shaarawy menjaringkan gol saguhati buat Itali.

“Kami mempamerkan persembahan yang kemas, bertahan dengan baik dan melakukannya dengan baik di bahagian serangan,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew yang kelihatan lega dengan keputusan itu.

Kemenangan itu turut menyaksikan Jerman menewaskan Itali buat kali pertama selama 21 tahun sekali gus meningkatkan keyakinan mereka empat hari selepas tewas 2-3 kepada England di Berlin.

Goetze meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan dengan gol kedua menentang Itali di Munich. – Reuters
Goetze meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan dengan gol kedua menentang Itali di Munich. – Reuters

“Hari ini kita dapat lihat apa yang berlaku apabila kami memasuki padang dengan mentaliti yang betul,” kata pemain pertahanan Mats Hummels.

Dalam perkembangan lain, penyerang Poland, Robert Lewandowski menyambung kontraknya bersama Bayern Munich sehingga 2021, menurut laporan majalah Jerman Sport Bild.

Penyerang 27 tahun itu mengharungi musim menakjubkan bersama Bayern dengan menyumbat 25 gol dalam saingan Bundesliga dan 36 gol dalam semua pertandingan.

Dia ketika ini dikaitkan dengan kelab gergasi seperti Real Madrid dan beberapa kelab lain seperti kelab England, termasuk Manchester City, yang bakal diambil alih oleh pengurus Bayern, Pep Guardiola pada musim panas ini.

Menurut Sport Bild, Bayern mengikat Lewandowski dengan kontrak baharu sekali gus menjadikan dia pemain kelima bersama Thomas Mueller, Jerome Boateng, Javi Martinez dan David Alaba diikat gergasi Bavaria itu sehingga 2021.

Lewandowski menjalani latihan dengan skuad Bayern hari ini selepas dibawa masuk dari bangku simpanan ketika Poland membelasah Finland Sabtu lalu di Wroclaw selepas mereka turut menewaskan Serbia 1-0 pada aksi persahabatan Rabu lalu.

ARTIKEL YANG SAMA