Gol Balotelli julang Nice

Gol Balotelli julang Nice

PARIS, 3 Okt – Rembatan hebat Mario Balotelli empat minit sebelum tamat memberikan Nice kemenangan 2-1 mengatasi Lorient awal pagi tadi yang memberikan mereka kedudukan teratas Ligue 1 sebelum rehat perlawanan antarabangsa.

Ricardo Pereira meletakkan Nice di depan dekat Cote d’Azur namun Benjamin Moukandjo menyamakan kedudukan pada babak kedua dan tampak skuad kendalian Lucien Favre akan menamatkan saingan dengan seri sehingga Balotelli melencongkan bola untuk kemenangan lewat pasukannya.

Bagaimanapun penyerang Itali itu terpaksa menamatkan saingan dengan dibuang padang pada penamat permainan selepas menerima dua kad kuning. Pertahanan Brazil, Dante pantas mempertahankan Balotelli sambil berkata rakan sepasukannya itu tidak melakukan apa-apa selepas sedikit perbalahan dengan pertahanan Lorient, Steven Moreira.

Balotelli ketika beraksi semasa perlawanan antara Nice dan Lorient di Stadium Allianz Riviera, Nice pada 2 Oktober 2016. – AFP
Balotelli ketika beraksi semasa perlawanan antara Nice dan Lorient di Stadium Allianz Riviera, Nice pada 2 Oktober 2016. – AFP

“Saya tidak faham kenapa Mario dibuang padang. Saya bercakap dengannya. Pihak lawan membuat provokasi, dia tidak membalas. Saya tidak lihat sebarang perlakuan yang membolehkan dia dilayangkan kad,” kata Dante.

Tewas 5-2 di Russia oleh Krasnodar pada Liga Europa League Jumaat lalu, keputusan ini membolehkan Nice kembali ke landasan dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik setakat ini. – AFP