Gol Darmian benam Palace

Gol Darmian benam Palace

MANCHESTER, 21 April – Matteo Darmian meledak gol pertamanya bersama Manchester United dan mencipta gerakan untuk satu lagi gol bagi menghidupkan peluang anak buah Louis Van Gaal menamatkan liga di kelompok empat teratas menerusi kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace, awal pagi tadi.

Darmian meledak gol dengan rembatan kaki kirinya pada babak kedua selepas pertahanan Palace, Damien Delaney menampan masuk hantaran lintang pemain Itali itu ke gawang sendiri pada minit keempat.

Bagaimanapun, pengendali United, Loius Van Gaal berang apabila penyokong United dikhabarkan enggan menghadiri perlawanan yang menyaksikan pasukan itu menang semalam.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengumumkan sejumlah 75,277 kehadiran direkodkan pada perlawanan itu yang mencerahkan peluang United menamatkan liga dalam kelompok empat terbaik sekali gus layak ke saingan Liga Juara Juara musim hadapan.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran itu merangkumi pemegang tiket bermusim tanpa mengira kehadiran mereka namun beberapa kawasan tempat duduk penonton di Old Trafford dilihat kosong.

Darmian meraikan jaringan bersama Schnerderlin semasa menentang Crystal Palace di Old Trafford kelmarin. – AP
Darmian meraikan jaringan bersama Schnerderlin semasa menentang Crystal Palace di Old Trafford kelmarin. – AP

Van Gaal yang meletakkan Wayne Rooney di posisi berlainan, melihat perkembangan pemain England itu dan persembahan meyakinkan selama 75 minit dan bakal meletakkannya dalam kesebelasan utama untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Everton.

“Sekarang dia mampu bermain sehingga 75 minit dan saya dapat lihat perkembangan prestasinya dan saya melakukan perkara yang sama dengan pemain lain seperti Marcos Rojo. Dia pemain yang mampu mengubah corak permainan dan saya sukakannya.

“Tiada pemain yang memiliki posisi yang tetap kerana saya meletakkan pemain di posisi yang membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada pasukan.

Dia (Rooney) bermain di bahagian tengah kerana mahu mengimbangi corak permainan Crystal Palace.

“Saya tidak mahu mengubah posisi Marcus Rashford jadi saya perlu memikirkan posisi yang berlainan buat Rooney. Dia pernah bermain di posisi terbabit musim lalu dan saya gembira dengan apa yang ditunjukkannya.” – AFP