Gol Jonas julang Benfica

Gol Jonas julang Benfica

LISBON, 17 Feb – Jonas menanduk masuk gol tunggal pada minit ke-90 sekali gus membolehkan Benfica menang tipis 1-0 ke atas Zenit St Petersburg di laman sendiri pada aksi pertama kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Zenit yang beraksi dalam perlawanan kompetitif pertama sejak 9 Disember lalu berkunjung ke Lisbon dengan hasrat mencatat keputusan seri sebelum merakam kemenangan pada aksi di laman sendiri, 9 Mac depan.

Namun, rancangan gergasi Rusia itu terjejas selepas pertahanan, Domenico Criscito menjatuhkan Andre Almeida dan dipaksa keluar padang selepas menerima kad kuning kedua ketika perlawanan menghampiri penamat.

Nicolas Gaitan mengambil sepakan percuma dan bola ditanduk masuk penjaring terbanyak Liga Portugal, Jonas yang melangkaui penjaga gol Zenit, Yuri Lodygin, sekali gus menyaksikan Stadium of Light bergema dengan sorakan daripada penonton.

“Gol itu mungkin memudahkan kerja kita di Russia nanti kerana mereka perlu terus menyerang daripada awal permainan dan membolehkan kita menggunakan ruang yang dibuka oleh mereka,” kata penjaga gol Benfica, Julio Cesar.

Jonas menanduk bola untuk menjaringkan gol ketika menentang Zenit dalam aksi Liga Juara-Juara di Lisbon, kelmarin. – AFP
Jonas menanduk bola untuk menjaringkan gol ketika menentang Zenit dalam aksi Liga Juara-Juara di Lisbon, kelmarin. – AFP

Separuh masa pertama menyaksikan Zenit sekadar bertahan dengan Jonas memiliki peluang terbaik untuk membuka jaringan namun rembatannya ditampan keluar Nicolas Lombaerts.

Zenit yang belum pernah mara ke suku akhir Liga Juara Juara perlu menunggu sehingga minit ke-36 untuk melakukan percubaan ke arah gol tetapi rembatan Hulk dari jarak 25 meter, tersasar.

Benfica yang juga juara Eropah dua kali mendominasi separuh masa kedua namun masih bergelut untuk mencipta gerakan dengan rembatan Gaitan berjaya diselamatkan Lodygin.

Bagaimanapun, gol yang dinantikan Benfica akhirnya muncul menerusi tandukan Jonas dan tuan rumah nyaris melebarkan jurang pada minit kedua masa tambahan tetapi rembatan Andreas Samaris sekali lagi berjaya ditepis keluar oleh Lodygin. Zenit pula hanya menguji Julio Cesar sekali sahaja sepanjang separuh masa kedua menerusi Alex Witsel. – Reuters