Gol sendiri hampakan Ireland Utara

Gol sendiri hampakan Ireland Utara

UEFA-Euro-2016-Logo

PARIS, 26 Jun (AFP) – Kekalahan yang berpunca daripada jaringan sendiri sudah tentu mengambil masa yang lama untuk pihak Ireland Utara melupakannya yang menyebabkan mereka tersingkir daripada pusingan kalah mati di Euro 2016.

Bagaimanapun mereka meninggalkan kejohanan itu dengan bangga selepas menampilkan aksi yang baik walaupun tewas 0-1 kepada Wales.

Ireland memiliki beberapa peluang terbaik pada babak pertama ketika aksi pusingan 16 terakhir di Parc des Princes sebelum Gareth McAuley tertampan hantaran lintang Gareth Bale ke gawang sendiri.

“Ia satu perlawanan yang sangat sengit. Kami beraksi dengan baik sepanjang permainan,” kata pengendali Ireland Utara Michael O’Neill. “Kami berhak sekurang-kurangnya beraksi dalam masa tambahan.

“Tetapi apabila ia berakhir seperti yang berlaku hari ini, ia sangat kejam. Saya tidak fikir kami berhak mendapat apa sepatutnya hari ini.”

O’Neill tidak menyalahkan McAuley untuk gol yang menyebabkan pasukan itu terkeluar daripada kejohanan besar pertama mereka sejak pusingan akhir Piala Dunia 1986.

“Saya pasti tidak akan menuding jari kepada dia (McAuley). Dia perlu membuat keputusan dalam sekelip mata,” katanya.

“Saya fikir dalam bola sepak antarabangsa, apabila berada di sebuah negara yang kecil, anda perlu kuat dari segi taktik dan membuat diri anda sukar untuk ditewaskan dan kami sudah melakukannya.”

ARTIKEL YANG SAMA