Gol ‘Si Merlin’ benam Belgium

Gol ‘Si Merlin’ benam Belgium

BRUSSELS, 2 Sept – Sepanyol memperoleh suntikan semangat bagi kelayakan Piala Dunia apabila menewaskan Belgium 2-0 dalam perlawanan persahabatan semalam, hasil dua jaringan David Silva.

Kedua-dua pasukan kembali bangkit selepas kempen Euro 2016 yang mengecewakan bersama jurulatih baharu, Roberto Martinez bagi Belgium dan Basque Jolen Lopotegui untuk Sepanyol.

Pemain Chelsea, Diego Costa bergandingan baik dengan Silva bagi membolehkan pemain Manchester City itu menjaringkan gol daripada kawasan kiri penalti pada minit ke-34 sebelum menyempurnakan satu lagi penalti selepas sejam perlawanan.

Penyokong di Brussels mengejek pasukan tuan rumah apabila Sepanyol mengatasi mereka dan tatkala Belgium kelihatan lebih bertahan, segelintir penyokong melaungkan nama bekas jurulatih negara itu, Marc Wilmots.

David Silva (kiri) merembat untuk menjaringkan gol semasa aksi persahabatan antara Sepanyol dan Belgium di Stadium King Baudouin di Brussels, kelmarin. – AFP
David Silva (kiri) merembat untuk menjaringkan gol semasa aksi persahabatan antara Sepanyol dan Belgium di Stadium King Baudouin di Brussels, kelmarin. – AFP

Dalam perlawanan pertama sebagai jurulatih Belgium, bekas pengurus Everton, Martinez meminta peminat supaya bersabar.

“Anda tidak boleh mengharapkan perubahan besar dalam masa hanya tiga hari dan keputusan ini tidak mempunyai makna yang sebenar. “Apa yang saya mahu saksikan adalah kemahuan dan kebanggaan dalam menyarung jersi pasukan kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun pasukannya hanya mampu melakukan satu cubaan jaringan pada minit ke-90 dan kelihatan hambar seperti ketika tewas kepada Wales pada suku akhir Euro.

“Sepanyol adalah lebih baik daripada kami. Kami kurang tumpuan dan kesungguhan,” kata penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois. – AFP