Gol sulung Ibra bersama United

Gol sulung Ibra bersama United

STOCKHOLM, 31 Julai – Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol menakjubkan hanya empat minit selepas penampilan pertama bersama Manchester United dan berjanji akan ada banyak lagi yang akan datang selepas mereka membelasah kelab Turki, Galatasaray 5-2 dalam perlawanan persahabatan di Gothenburg, awal pagi tadi.

Bintang Sweden berusia 34 tahun itu tiba di Old Trafford dengan perpindahan percuma selepas empat tahun merangkul banyak trofi bersama Paris St Germain, tidak membuang masa untuk memastikan kehadirannya dirasai apabila menyudahkan hantaran silang Antonio Valencia dengan satu sepakan gunting.

Wayne Rooney pula meledak dua gol, manakala Valencia merekodkan tiga hantaran yang menyumbang jaringan dan Ibrahimovic dengan perasaan gembira berkata, ia membayangkan mereka bakal mengharungi musim yang menarik terutama jika sasaran utama United, Paul Pogba tiba dari Juventus.

“Saya akan membantu pasukan sebanyak mana yang saya boleh dan melakukan apa yang saya mampu, mencipta peluang dan menjaringkan gol,” katanya kepada TV Sweden.

“Ada sesuatu yang besar akan dicapai, ia akan menjadi sangat menarik tahun ini. Boleh dikatakan, jika Pogba juga tiba (di United), ia akan menjadi sangat menarik,” katanya sambil tersenyum.

Aksi Ibrahimovic ketika bersaing dalam perlawanan bola sepak persahabatan pra-musim di Stadium Ullevi, Gothenburg, Sweden menentang Galatasaray semalam. - AP
Aksi Ibrahimovic ketika bersaing dalam perlawanan bola sepak persahabatan pra-musim di Stadium Ullevi, Gothenburg, Sweden menentang Galatasaray semalam. – AP

Galatasaray cuba merosakkan parti Zlatan apabila Sinan Gumus menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan percuma Wesley Sneijder, dan pemain sayap Portugal, Bruma kemudian meletakkan Galatasaray di depan empat minit sebelum rehat.

Ibrahimovic dikeluarkan ketika rehat dengan jurulatih Jose Mourinho melakukan pertukaran sebelum Valencia sekali menjadi arkitek untuk Rooney menyamakan kedudukan 10 minit selepas separuh masa kedua.

Tiga minit kemudian, Rooney meledak gol ketiga dengan menyempurnakan sepakan penalti apabila Marcus Rashford dijatuhkan di dalam kotak.

Valencia mencipta hantaran ketiga untuk membantu Marouane Fellaini menanduk masuk gol keempat sebelum pemain gantian Juan Mata mengesahkan kemenangan bergaya United. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA