Gol Walker bantu United

Gol Walker bantu United

LONDON, 9 Ogos (Reuters) – Liga Perdana Inggeris membuka tirainya semalam de­ngan agak unik apabila menyaksikan pemain Tottenham Hotspur, Kyle Walker menghasilkan jaringan sendiri untuk menghadiahkan kemenangan ehsan 1-0 kepada Manchester United dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Old Trafford.

Belum pernah terjadi dalam perlawanan sulung antara pasukan ternama bola sepak Inggeris sebelum ini pemain menjaringkan gol sendiri sehinggalah Walker melakukannya pada minit ke-22.

Jaringan itu berpunca daripada tindakan pemain pertahanan itu yang cuba menghalang kapten United, Wayne Rooney daripada melakukan rembatan setelah me­nerima hantaran lintang Juan Mata di depan gawang.

Meskipun Spurs mendominasi pertemuan itu, namun gol tersebut membantu United menerajui perlawanan yang menyaksikan skuad bimbingan Louis van Gaal itu menurunkan lima pemain termahal untuk membuat penampilan sulung mereka.

Walker (kanan) menjaringkan gol sendiri ketika cuba menghalang Rooney (kiri) daripada membuat percubaan semalam. – Reuters
Walker (kanan) menjaringkan gol sendiri ketika cuba menghalang Rooney (kiri) daripada membuat percubaan semalam. – Reuters

Spurs cuba me­madam kelebihan tuan rumah pada penghujung perlawanan, namun penjaga gol baharu United, Sergio Romero dari Argentina melakukan beberapa tindakan cemerlang dalam usaha menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Memperoleh tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan itu sudah cukup memberikan kelegaan kepada Van Gaal yang memulakan musim ini dengan pelaburan besar dan telah berbelanja kira-kira 230 juta pound sepanjang 12 bulan menerajui United.Selain kecemerlangan Romero; pertahanan Itali, Matteo Darmian; pemain tengah Perancis, Morgan Schneiderlin dan penyerang Belanda, Memphis Depay turut beraksi baik pada awal perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA