Golazo FT juara Futsal B-15

Golazo FT juara Futsal B-15

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 17 Ogos – Golazo FT muncul juara aksi persahabatan Futsal Bawah 15 Tahun (B-15) Edisi Kedua di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait hari ini.

Golazo FT menerima wang tunai $200 selepas mengalahkan Pasukan Strike FT yang muncul naib johan dan membawa pulang wang tunai $150. Pasukan Qatar FT pula menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai $100.

Edisi kali ini disertai oleh 11 pasukan dari Daerah Belait bermula dengan format liga dan format kalah mati pada penghujung.

Hadir sebagai tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah pengerusi serta penganjur pertandingan iaitu Haji Kamarulzaman bin Haji Ismail. Beliau menyatakan penghargaan beliau kepada semua pasukan yang menyertai pertandingan pada kali ini kerana semuanya telah berjalan dengan lancar.

Wakil Golazo FT menerima hadiah selaku juara pertandingan Futsal B-15 semalam.
Wakil Golazo FT menerima hadiah selaku juara pertandingan Futsal B-15 semalam.

Menurut beliau lagi, pertandingan seperti ini bukan sahaja membantu anak-anak muda untuk manfaatkan hujung minggu dengan aktiviti sukan untuk kesihatan tetapi memeriahkan lagi cuti Hari Keputeraan.

Beliau juga menyatakan kegiatan seperti ini akan dijalankan lagi pada masa akan datang dan beliau meluahkan harapan untuk menarik lebih ramai lagi penyertaan pasukan dari Daerah Belait.