Golf amal Audi quattro kumpul $26,880

Golf amal Audi quattro kumpul $26,880

Oleh Mohamad Asyramisyanie dan Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Gandingan Pengiran Anak Basheer bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr) Kemaluddin Al-Haj dan Kolonel (B) Haji Mahmud tampil juara dalam Kejohanan Golf Amal Piala Audi quattro Ke-7 2016 yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Brunei Jerudong, di sini.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA).

Tampil di tempat kedua pula gandingan Leonard Lim Kuan Honn dan Haji Ahmad sementara di tempat ketiga pula gandingan Kolonel (B) Dato Haji Harith dan Mejar (B) Haji Suhaimi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cek derma berjumlah $26,880 kepada DANA yang diterima oleh Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Brahim bin Haji Ismail disampaikan oleh Pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan, Teng Chee Khiong.

Gandingan Pengiran Anak Basheer dan Kolonel (B) Haji Mahmud tampil juara dalam Kejohanan Golf Amal Audi quattro.
Gandingan Pengiran Anak Basheer dan Kolonel (B) Haji Mahmud tampil juara dalam Kejohanan Golf Amal Audi quattro.

Dalam Kategori terbaru kejohanan itu iaitu Kategori Wanita dijuarai oleh gandingan Garwani Gapar dan Hajah Sarinah.

Sementara itu, pengerusi bersama kejohanan, Haji Yakub bin Haji jumat menyempurnakan penyampaian hadiah bagi Hole In One bagi lubang ketiga yang disandang oleh Mohd Khairul Bakar, sekaligus membawa pulang wang tunai $10,000; serta menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang novelti yang lain.

Juara kejohanan kali ini akan menyertai kejohanan akhir dunia yang akan berlangsung di Real Club de Golf El Prat di Barcelona Sepanyol pada bulan Oktober nanti.

ARTIKEL YANG SAMA