Golf Amal Baiduri bermula

Golf Amal Baiduri bermula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Edisi ke-21 Kejohanan Golf Amal Baiduri Masters akan mula membuka tirai perlawanannya pada 20 hingga 22 dan 27 hingga 29 Mei 2016 ini nanti.

Sehubungan dengan itu, bagi menjayakan kejohanan golf terbesar di negara ini itu, satu Majlis Penandatanganan Rakan Kerjasama bersama Kumpulan Bank Baiduri diadakan hari ini di QAF Centre, Beribi, di sini.

Bank Baiduri diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierre Imhof; QAF Brunei diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Lau; Kelab Golf Diraja Brunei diwakili oleh Pengurus Besarnya, Awang Asmadi bin Haji Ali Mustapha manakala Brunei Press Sdn Bhd diwakili Pengurus Besarnya, Reggie See.

Turut hadir mewakili pertubuhan masing-masing ialah Timbalan Pengurus Besar QAF Eurokars, Clement Chong, Timbalan Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman dan akauntan Kelab Golf Diraja Brunei, Ng Joon An dan Timbalan Pengurus Besar Divisyen Pengurusan Operasi dan Pembangunan Strategik Bank Baiduri merangkap Presiden Jawatankuasa Kejohanan 2016, Andrew Young.

Pada majlis itu, Pierre Imhof menyatakan harapannya untuk melihat lebih ramai penyertaan kali ini dan suka untuk melihat jika ada lagi pemain yang bernasib baik untuk membawa pulang hadiah berupa kereta bagi Hole In One dalam kejohanan itu nanti.

Pierre Imhoff dan Albert Lau memegang piala rebutan kejohanan Baiduri Masters sambil disaksikan oleh wakil-wakil rakan kerjasama penganjuran kejohanan tersebut.
Pierre Imhoff dan Albert Lau memegang piala rebutan kejohanan Baiduri Masters sambil disaksikan oleh wakil-wakil rakan kerjasama penganjuran kejohanan tersebut.

“Tahun lalu kita berjaya mengutip sejumlah $80,000 bagi tujuan amal dan ia merupakan komitmen berterusan penganjur untuk membuat kelainan dan membantu masyarakat yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Sejurus selepas ucapannya alu-aluannya, beliau seterusnya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjayakan kejohanan golf yang kini berusia 21 tahun sejak diperkenalkan pada tahun 1995.

Antara hadiah yang ditawarkan pada kejohanan kali ini adalah bagi Hole In One di lubang ke-2 iaitu sebuah Porsche Cayenne, Mini Cooper bagi Lubang ke-5, BMW 218 Active Tourer bagi lubang 14 dan pada lubang ke-12 serta 16 hadiah wang tunai berjumlah $20,000.

Kejohanan tahun lalu dijuarai Awang Seruji bin Haji Setia yang juga pernah meraih kejuaraan beberapa kali sebelum ini dan tahun lalu beliau diekori rapat Awang Khairol Bahar, Awang Qawim Aslimon, Haji Shahminan Damit serta Awang Moksin Junaidi.

Kejohanan kali ini dibahagikan kepada empat divisyen iaitu lelaki, perempuan, junior dan berpasukan dan bahagian lelaki akan dibahagikan kepada dua bahagian antaranya lelaki terbuka dan kategori pemain golf veteran sementara itu had usia bagi junior pula antara 13 hingga 18 tahun.

Tahun lalu, Awang Ahmad Izzat DSS Haji Mohd Zaimi dan Awang Hanapiah Haji Mohd Noor berkongsi sebuah Porshe Panamera dan Awang Kahar bin Haji Abu Bakar pulang bersama $20,000 dan tersenarai sebagai pemenang pertama pulang bersama wang tunai dalam kejohanan itu.

ARTIKEL YANG SAMA