Golf kian digemari

Golf kian digemari

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Persaingan sukan golf dilihat semakin memberangsangkan dan sengit dengan lahirnya lebih banyak pemain muda dan baru yang mempamerkan minat yang mendalam untuk menerokai dan memperkembangkan lagi sukan tersebut di negara ini.

Perkara tersebut antara yang dinyatakan oleh bekas juara tiga kali siri kejohanan golf bagi tahun 2010,2014 dan 2015, Awang Seruji bin Haji Setia semasa ditemu bual oleh media pada pembukaan Kejohanan Golf Baiduri Masters kali ke-21 yang diadakan di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei, Berakas, hari ini.

Menurutnya, beliau sendiri mula berkecimpung dalam sukan ini sejak 30 tahun yang lalu dan mula memandang serius kira-kira 20 tahun yang lalu disebabkan minatnya kepada sukan tersebut, di mana beliau mula terlibat dalam sukan ini semasa zaman kanak-kanaknya ketika mengambil upah sebagai Cadey daripada beberapa pemain senior dan minat itu diteruskannya sehinggalah beliau mahir dalam sukan elit ini.

Ditanya mengenai cabaran kejohanan yang disertainya kali ini, beliau menyatakan harapannya untuk menjulang piala rebutan itu sebagai sasaran utama dan menyarung jaket hijau kejohanan buat kali ketiga berturut-turut dan untuk tujuan itu, jelasnya beliau perlu memastikan prestasi permainannya berada pada tahap optimum dan sentiasa tenang dalam permainan yang dipamerkan.

Menurutnya lagi, “dengan adanya Program Perkembangan Sukan Golf pihak Sekolah Sukan (Kementerian Pendidikan) dan beberapa skim yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), ia merupakan suatu perkembangan yang positif sukan golf ke arah melahirkan lebih banyak pemain yang berkaliber.”

Awang Seruji ketika ditemu bual media.
Awang Seruji ketika ditemu bual media.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Golf Kebangsaan Negara Brunei Darussalam menasihatkan supaya para pemain muda mendengar dan mematuhi arahan dan saranan jurulatih yang terdiri daripada Pro yang dilantik jika ingin berjaya kerana berbanding dahulu kemudahan seperti ini adalah terhad dan sukar diperoleh.

Pada perlawanan pembukaan yang diadakan pagi tadi, sebanyak 92 pemain golf mengambil bahagian bagi merebut peluang untuk menjulang piala pusingan dan memakai jaket hijau.

Awang Idris bin Osman mendahului dengan par 71 diikuti oleh ketiga-tiga pemain golf terdiri daripada Awang Ali bin Haji Rashid, Awang Seruji dan Awang Zulhilmi bin Rosli dengan skor kasar sebanyak 72. Sementara itu Pengiran Haji Ahmad bin Zaki dan Haji Norismadi bin Haji Tamid, masing-masing berada di tempat kelima dan keenam.

Manakala berada di tempat ketujuh ialah peserta veteran, Haji Shaiful Rizal bin Pehin Dato Haji Ahmad dengan skor kasar 75. Berada di belakang mereka ialah pasangan trio Awang Mohammad Rijal bin Haji Kassim, Awang Fa’ez bin Ahmad dan Han Kiang Siew dengan dengan skor 76.

Haji Mohd Yussop bin Haji Abd Latip dan Khalil Ariffin dengan skor kasar sebanyak 79 pula berada di kedudukan 12 tangga teratas.

Kejohanan tersebut yang berjalan selama seminggu itu diteruskan lagi esok dengan penyertaan yang dijangka akan terus meningkat.

Bagi mereka yang ingin mendaftar pada kejohanan tersebut bolehlah membuat pendaftaran di Kelab Golf RBA.Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web www.baiduri.com atau hubungi 2449666 dari 7 pagi hingga tengah malam.

ARTIKEL YANG SAMA