Golongan belia diberi kepercayaan

Golongan belia diberi kepercayaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Lebih daripada 90 peratus ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam atau sukarelawan persatuan berkenaan merupakan golongan belia dan melihat kepada perangkaan itu, kepimpinan persatuan berkenaan telah banyak membuat reformasi kepada struktur dan organisasinya untuk memberikan peluang serta kepercayaan kepada golongan belia menjadi pemimpin dan menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin seterusnya persatuan berkenaan.

Reformasi yang dilaksanakan itu banyak menunjukkan perkembangan yang sihat, jelas Presiden PBSM Kebangsaan NBD Sesi 2013-2015, Haji Julaini bin Haji Abdul Latip ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PBSM NBD Kebangsaan ke-6, yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin, selaku wakil peribadi Menteri Kesihatan, Ketua Asia Tenggara International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), Anne Leclerc, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif serta ahli-ahli PBSM Kebangsaan.

Haji Julaini berkata lagi bahawa Belia Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam banyak diberikan pendedahan kepada pelbagai perkara berhubung kepimpinan, pengurusan dan pembentukan perwatakan untuk menjadi seorang sukarelawan yang sebenarnya.

“Sukarelawan sebenarnya bermula dari lubuk hati yang dalam untuk membantu, untuk menolong mereka yang memerlukan, hati mesti tulus dan ikhlas. Bukan ikut-ikutan dan bukan bermusim.”

Dr. Hajah Maslina menyampaikan cenderahati kepada Haji Julaini.
Dr. Hajah Maslina menyampaikan cenderahati kepada Haji Julaini.
Haji Julaini menyampaikan cenderahati kepada Anne Leclerc.
Haji Julaini menyampaikan cenderahati kepada Anne Leclerc.

Sementara itu, Anne Leclerc dalam ucapannya di majlis berkenaan mengambil maklum dan mengalu-alukan perkembangan yang dicapai oleh PBSM Kebangsaan yang telah mengenal pasti program, projek dan kegiatan untuk membantu golongan yang memerlukan serta juga atas kerjasama mereka dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mendekati lebih banyak ahli masyarakat yang memerlukan.

Di samping itu, Anne amat mengalu-alukan komitmen persatuan itu dalam membangunkan golongan belia dan meningkatkan penyertaan mereka di pelbagai peringkat organisasi berkenaan serta komitmen persatuan kepada pembangunan jangka panjang strategik persatuan berkenaan dengan merangka pelan strategik 10 tahun, pelan pembangunan jangka panjang dan penilaian semula pelan strategik sedia ada.

Antara yang menghadiri majlis berkenaan.
Antara yang menghadiri majlis berkenaan.

Beliau berkata dalam dunia tanpa sempadan pada masa ini, setiap tindakan yang diambil akan mempunyai kesannya, oleh itu, ia memerlukan keserasian dalam semua aspek dengan rakan-rakan kongsi dan kerjasama persatuan untuk memastikan setiap cabaran yang hadir serantau atau antarabangsa dapat ditangani dengan betul.

Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil harus lebih telus dan bertanggungjawab di setiap peringkat dengan menumpukan kepada pengurusan risiko bagi memastikan supaya kesan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah yang terbaik.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati oleh Dr. Hajah Maslina kepada mantan-mantan presiden PBSM Kebangsaan NBD dan juga penyampaian cenderahati kepada Anne Leclerc oleh Haji Julaini.

Sementara itu, dalam Mesyuarat Agung yang diadakan, ahli-ahli baru Lembaga Eksekutif Kebangsaan PBSM Kebangsaan bagi sesi 2016-2018 telah dilantik antaranya ialah jawatan Presiden yang disandang oleh Haji Ismail bin Kassim; Timbalan Presiden (Kebangsaan), Haji Morni bin Haji Damit; Timbalan Presiden (Antarabangsa), Haji Suhaimi bin Haji Ibrahim; Setiausaha Agung, Sheikh Kadir Abdullah dan Timbalan Setiausaha Agung, Hajah Asmah binti Haji Omar.

ARTIKEL YANG SAMA