Golongan belia satu penyumbang besar

Golongan belia satu penyumbang besar

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Ogos – Belia merupakan penyumbang yang besar dan salah satu penentu dalam pembangunan progresif Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kerana pengambilan rekrut adalah daripada kalangan belia.

Setentunya para belia yang berminat berkecimpung dalam kerjaya tersebut merupakan kalangan belia yang mempunyai rasa tanggungjawab mendalam terhadap negara.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil semasa menyampaikan ucapan sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan ke-156 dan Rekrut Wanita Pengambilan ke-52 di Padang Kawad Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, pagi tadi.

Datin Paduka Dr Hajah Norlila juga mengatakan bahawa pada masa ini sejajar dengan perkembangan semasa, jumlah kemasukan rekrut sudah berkembang kepada lebih kurang 150 ganda.

Dalam perkembangan tersebut, penglibatan rekrut wanita turut meningkat yang juga memainkan peranan penting dalam organisasi angkatan bersenjata.

Datin Paduka Dr Hajah Norlila semasa menyampaikan ucapannya.
Datin Paduka Dr Hajah Norlila semasa menyampaikan ucapannya.

“Sejak pengambilan Askar Wanita dibuka semula, antara perkara signifikan adalah pendaftaran yang semakin meningkat. Ini menunjukkan bahawa dayang-dayang merupakan individu yang tampil untuk turut sama-sama memikul tanggungjawab dalam pertahanan kedaulatan negara,” ujar beliau.

Dalam ucapannya itu, beliau juga menekankan bahawa disiplin dan integriti juga amat penting untuk dititikberatkan dalam kehidupan selaku ABDB.

Beliau juga berharap agar para rekrut akan terus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini.

“Manfaatkanlah kemajuan teknologi untuk terus maju ke hadapan sebagai anggota tentera yang cekap, berdaya saing, berintegriti dan berwawasan tinggi yang sentiasa menanai dan berteraskan prinsip Melayu Islam Beraja.”

Datin Paduka Dr Hajah Norlila juga mengingatkan supaya mereka akan sentiasa kembali kepada tuhan yang maha berkuasa dalam setiap hal yang dilakukan dan semoga dihindarkan daripada gejala-gejala negatif yang dapat menghancurkan kehidupan.

ARTIKEL YANG SAMA