Golongan kanak-kanak boleh dibentuk

Golongan kanak-kanak boleh dibentuk

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Pendapat yang mengatakan seni mempertahankan diri hanya sesuai bagi kanak-kanak atau individu yang berdisiplin dan tidak sesuai bagi mereka yang nakal perlu dikikis kerana semua anak-anak boleh dibentuk dan jika mereka mempunyai minat untuk menyertai sukan tekwando mereka pasti akan merubah sikap masing-masing untuk meneruskannya.

Perkara itu ditegaskan oleh Muhd Nikman Waie bin Abdullah Kwa pengasas bersama Kelab Unite Taekwando Gym yang juga merupakan bekas atlet tekwando kebangsaan Brunei Darussalam yang pernah meraih beberapa pingat di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk Sukan Asia di Hong Kong dan Sukan Komanwel di Australia.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman beliau menangani beberapa kanak-kanak yang lebih aktif dengan memberikan denda ringan untuk duduk diam di sudut dojo dan ini membuatkan mereka berasa bosan dan mengubah cara mereka kepada lebih baik dan berdisiplin.

“Sukan in sememangnya sukan yang agresif, namun kita mula mengajar anak-anak menggunakan cara yang berkaedah mengikut kemampuan dan peningkatan masing-masing mengikut prestasi sebelum mengajar mereka serangan dan pertahanan lanjutan,” ujarnya Muhd Nikman Waie.

“Untuk menyalurkan pemain ke peringkat ‘sparring’ pula bukan suatu yang mudah kerana sebagai jurulatih kita perlu melihat sama ada mereka ini cukup bersedia baik fizikal dan mental untuk menyertai kejohanan dan pertandingan.

Muhd Nikman Waie bergambar ramai bersama sebahagian daripada ahli kelab berkenaan.
Muhd Nikman Waie bergambar ramai bersama sebahagian daripada ahli kelab berkenaan.

“Mereka perlu faham tujuan sukan in sebelum mula merasa seronok dan faham akan objektif sukan ini apatah lagi berhadapan dengan golongan ibu bapa zaman kini yang sememangnya terlalu mempertahankan anak-anak,” ujarnya.

Katanya lagi, “Bukan semua ibu bapa begitu namun terdapat juga mereka yang perlu mengambil masa untuk benar-benar tahu objektif dan melihat perkembangan anak masing-masing dalam sukan ini.”

Sebagai seorang penerima pingat, beliau kini dibantu oleh Muhd Harees Hatta bin Abdullah Gindi yang sudah melahirkan banyak peserta yang berpotensi termasuk seorang peserta kebangsaan yang mula mengikut jejak langkahnya dan ia adalah satu pencapaian yang sangat berharga untuk melihat anak didik sendiri meraih kejayaan.

“Pada saya, kita hanya boleh menyertai kejohanan pada satu jangka masa yang singkat namun jika kita komited kita akan dapat meneruskan kerjaya dalam sukan ini lebihan hidup sebagai jurulatih bertindak sebagai pembimbing kepada generasi tekwando yang baru.”

Mengulas mengenai hubungan kerjasama kelab dengan persatuan induk kebangsaan katanya, “Kelab sangat rapat dengan Persatuan Tekwando Brunei Darussalam kerana jika kita mahu maju mereka ini adalah sandaran kita dan mereka akan sentiasa membantu kita dengan mengadakan kursus jurulatih bagi anak-anak muda dengan menyertakan sijil yang berharga. Kini orang kita bukan lagi pada tahap pendedahan kerana kita sudah banyak penggiat yang bertanding di luar negara dan saya percaya kini adalah masa untuk kita meraih pingat dan inilah set minda yang perlu kita ada,” tegasnya lagi.