Golongan kurang berkemampuan terima bantuan RM1 juta

Golongan kurang berkemampuan terima bantuan RM1 juta

KUCHING, 13 Julai – Yayasan Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) telah menyalur bantuan berjumlah RM1 juta kepada golongan yang kurang berkemampuan di Sarawak setakat Jun lalu.

Presiden Pekema Sarawak, Datuk Seri Abang Khalid Abang Marzuki berkata jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada RM2 juta yang diperuntukkan bagi mengurus program-program berbentuk kebajikan yang berfaedah untuk masyarakat di Sarawak tahun ini.

“Setakat Jun, kita telah membantu ramai yang memerlukan seperti anak yatim, orang miskin, warga emas, golongan yang ditimpa musibah seperti rumah terbakar dan banjir serta pelajar menerusi bantuan pendidikan.

“Alhamdulillah walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu keazaman kita untuk membantu akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Abang Khalid berkata daripada jumlah yang disalurkan itu, permohonan bantuan pendidikan kepada pelajar antara yang paling banyak diberikan.

Katanya di bawah skim bantuan pendidikan, Pekema memperuntukkan bantuan awal berjumlah RM1,000 untuk pengajian di Sarawak; RM1,500 pengajian di Semenanjung dan RM2,500 untuk pengajian di luar negara.

“Kita akan usaha sebaik mungkin membantu golongan yang memerlukan ini. Bagi mereka yang ingin memohon, boleh datang ke Ibu Pejabat Pekema Sarawak di Jalan Green, Kuching, isi borang permohonan bersama surat sokongan dan kita akan teliti setiap permohonan yang diterima sebaik mungkin,” katanya. – Bernama