Golongan kurang berkemampuan terus dipeduli

Golongan kurang berkemampuan terus dipeduli

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 29 Dis – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong Tiga Seria, dalam aktiviti kemasyarakatan berterusan mereka, telah menghulurkan sumbangan kepada beberapa orang anak-anak buah kampung yang memerlukan di sini.

Seramai lapan orang dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan kerana kesempitan hidup telah menerima sumbangan berupa keperluan asasi, yang disampaikan oleh Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap, pada majlis penyampaiannya di Dewan Pejabat Daerah, di sini.

Menurut Haji Jamail, aktiviti berkebajikan itu diadakan setiap bulan dengan menyampaikan sumbangan secara rutin kepada lima orang penerima yang dikenalpasti sangat memerlukan, manakala tiga penerima lainnya disumbangkan secara berkala.

Haji Jamail juga memberitahu, mereka akan menyumbangkan dua buah mesin pemotong rumput kepada dua orang penerima sebagai kemudahan mereka mencari rezeki dengan mendapatkan upah memotong rumput di kawasan kampung berkenaan.

Penghulu Mukim Seria bergambar ramai bersama ahli-ahli MPK STKRJ Lorong Tiga Seria dan para penerima.
Penghulu Mukim Seria bergambar ramai bersama ahli-ahli MPK STKRJ Lorong Tiga Seria dan para penerima.

Sumbangan yang disampaikan itu merupakan hasil kutipan daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria dan MPK STKRJ Lorong Tiga Seria, dengan memasukkan kesemua sumbangan tersebut ke dalam Tabung Sun Shine.

Sumbangan itu juga merupakan salah satu usaha MPM dan MPK untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di kawasan mukim dan kampung tersebut.

Selain menghulurkan sumbangan, penerima juga sering disuntikkan dengan kata-kata nasihat supaya terus tabah dan meningkatkan usaha ke arah mengubah nasib diri demi kepentingan keluarga mereka.

ARTIKEL YANG SAMA