Golongan mualaf hidup harmoni

Golongan mualaf hidup harmoni

TEBEDU, 22 Julai – Walaupun sudah bertukar agama, lebih 200 mualaf di Kampung Muara Mongkos di sini bersyukur kerana dapat hidup dalam suasana harmoni bersama saudara-mara dan rakan lain yang beragama Kristian.

Terdapat 13 keluarga masyarakat Bidayuh dari beberapa kampung di sekitar kawasan Mongkos di sini memeluk agama Islam dan mendirikan kampung di Muara Mongkos yang turut mempunyai kemudahan masjid untuk beribadah.

“Kami yang memeluk agama Islam tidak berhadapan sebarang masalah malah pergaulan kami dengan penduduk beragama Kristian di sini adalah mesra,” kata pengerusi Masjid Miftahul Jannah, Kampung Muara Mongkos, Mohd Salman Abdullah @ Collin Subuh.

Katanya, perpaduan di antara penduduk beragama Islam dan Kristian tetap kukuh seperti dahulu dan semangat tolong-menolong sesama mereka masih terus terpelihara.

“Semasa perayaan Krismas, kami orang Islam membantu dalam membuat persiapan dan apabila perayaan Aidilfitri, penduduk beragama Kristian pula yang membantu kami.

“Ini yang membuat kami mualaf tidak merasa disisih oleh saudara-mara dan rakan-rakan kami yang beragama Kristian di sini,” katanya ketika ditemui Bernama semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di masjid itu baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia yang juga Anggota Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot merupakan antara lebih 1,000 tetamu yang menghadiri majlis itu.

Riot berkata sikap keterbukaan dan keharmonian penduduk Kristian dan Islam di kawasan Serian, khususnya di Mongkos merupakan contoh yang sangat baik dan perlu menjadi ikutan rakyat Malaysia di tempat lain.

“Ia jelas menunjukkan betapa kita di Sarawak, khususnya dapat hidup berharmoni kerana kita mengamalkan toleransi beragama tidak seperti yang berlaku di beberapa negara.

Sehubungan itu, Riot berharap keharmonian yang sudah wujud sejak sekian lama dalam kalangan penduduk beragama Kristian dan Islam dapat diteruskan untuk kebaikan mereka bersama. – Bernama