Golongan pendapatan rendah dibantu

Golongan pendapatan rendah dibantu

SINGAPURA, 25 Mac (Bernama) – Mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab pasti sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga kesejahteraan rakyatnya, terutama golongan yang sangat memerlukan.

Begitu juga dengan Singapura, apabila kerajaannya semalam mengumumkan bantuan tunai khas kepada golongan berpendapatan rendah.

Setiap negara mempunyai pendekatan yang berbeza, mungkin ada yang memberi baucar tunai, sementara yang lain menyediakan kupon makanan malah ada yang memperuntukkan sejumlah wang tunai.

Walaupun matlamat utamanya untuk membantu golongan miskin, pengkritik mungkin mengatakan ia adalah antara cara untuk ‘mengambil hati’ pengundi. Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis, kerajaan Singapura mengumumkan perbelanjaannya akan meningkat 7.3 peratus atau S$5 bilion (S$1=RM2.95) dari tahun lepas.

Ramai yang menyifatkannya sebagai bajet yang holistik dan terangkum, dengan golongan berpendapatan rendah tidak dipinggirkan. Menteri Kewangan, Heng Swee Keat berkata kerajaan Singapura akan menyediakan lebih banyak bantuan untuk membantu rakyat dalam mendepani kenaikan kos sara hidup tahun ini.

Antara pendekatan yang diambil ialah Bayaran Khas Tunai-Baucar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GSTV) sekali beri kepada isi rumah Singapura dalam membantu mereka menghadapi situasi ekonomi yang sukar.

Penerima Tunai-GSTV yang layak akan menerima Bayaran Khas Tunai-GSTV sekali beri sehingga S$200 sebagai tambahan kepada bayaran Tunai-GSTV biasa. Ini bermakna setiap mereka yang layak akan menerima sehingga S$500 keseluruhannya tahun ini. Heng berkata: “Jika penerima membelanjakan sejumlah daripada itu di kedai kedai kejiranan mereka, ia turut membantu perniagaan tempatan kita!”

Kerajaan Singapura memperuntukkan S$280 juta untuk Bayaran Khas Tunai GSTV sekali beri itu dan ia akan memberi manfaat kepada sehingga 1.4 juta rakyat Singapura.

Jumlah rakyat Singapura yang tinggal di negara berkenaan berjumlah 3.9 juta setakat akhir Jun 2015. Baucar itu akan dibayar pada November dan ia adalah tambahan kepada bayaran Tunai-GSTV biasa yang diberi pada Ogos 2016.

Jadi, bagaimana pula dengan Malaysia?

Malaysia mempunyai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), satu usaha yang diilhamkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup. Pendekatan BR1M itu adalah seiring dengan usaha Bank Dunia bahawa bantuan perlu diberikan secara langsung dan subsidi bersasar.

Hampir 7.1 juta pemohon yang layak akan menerima BR1M 2016, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini.

Beliau berkata jumlah berkenaan merangkumi bantuan isi rumah RM1,050 kepada hampir 162,000 penerima, bantuan isi rumah RM1,000 kepada 3.4 juta penerima, bantuan isi rumah RM800 kepada 380,000 penerima dan bantuan individu RM400 kepada 3.2 juta penerima.

ARTIKEL YANG SAMA