Golongan tertentu terus mendapat perhatian

Golongan tertentu terus mendapat perhatian

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Anak-anak yatim dan orang kurang upaya terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di negara ini yang prihatin dengan nasib mereka, termasuklah pengurus syarikat Restoran Hariani yang mengadakan majlis makan malam bersama anak-anak yatim dan orang kurang upaya di Restoran Stadium, Berakas, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang turut sama menyampaikan sumbangan derma yang dikumpulkan dari 20 buah syarikat dan orang-orang persendirian.

Terlebih dahulu, majlis dibuka dengan ucapan Pengurus Syarikat Restoran Hariani, Lim Chai Huat diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis sebelum penyampaian derma daripada perwakilan syarikat dan orang perseorangan yang terlibat.

Acara penyerahan sumbangan derma yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara penyerahan sumbangan derma yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Dalam ucapannya, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara menyahut baik usaha dan keikhlasan para penderma untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim dan menyampaikan penghargaan atas sumbangan yang diberikan.

Sejurus selepas ucapan, majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah sebelum menyaksikan penyerahan cek kepada Pusat KACA dan Pusat Bahagia yang disempurnakan oleh perwakilan penderma dengan disaksikan tetamu kehormat majlis

Sebanyak $12,300 dikumpulkan daripada kutipan derma dan jumlah berkenaan diagihkan kepada Pusat KACA dan Pusat Bahagia masing-masing menerima $1,000 manakala selebihnya $10,300 disalurkan kepada barisan anak-anak yatim yang diraikan.

ARTIKEL YANG SAMA