Gomez sasar JDT terus rekod tanpa kalah Piala AFC

Gomez sasar JDT terus rekod tanpa kalah Piala AFC

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez mahu mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan bola sepak itu dalam kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila bertemu Lao Toyota FC dalam perlawanan keempat Kumpulan H di Stadium Nasional Laos, esok.

Beliau mengakui kemenangan adalah penting buat skuad Harimau Selatan menempah tiket awal untuk 16 tempat terakhir kejohanan kelab tahap dua Asia itu.

“Bagi kami, ia adalah satu lagi perlawanan penting kerana kami memiliki sembilan mata dan kami perlukan mungkin satu mata lagi untuk ke pusingan seterusnya tetapi kami mahu menang esok.

“Ini adalah penting buat kami,” jurulatih dari Argentina itu berkata dalam sidang akhbar pra-perlawanan yang dipetik dari laman sesawang AFC, www.theafc.com.

“Tiada pemain kami yang cedera, namun kami mungkin merehatkan tiga atau empat pemain tetapi kami mempunyai pemain yang baik untuk diturunkan,” kata Gomez.