Gomez tersisih, Khedira, Bastian diragui beraksi

Gomez tersisih, Khedira, Bastian diragui beraksi

EVIAN, Perancis, 4 Julai – Penyerang Jerman, Mario Gomez tersisih daripada baki Euro 2016 disebabkan kecederaan manakala Sami Khedira dan kapten pasukan, Bastian Schweinsteiger juga diragui mampu beraksi di pentas separuh akhir, awal pagi Jumaat ini.

Berita mengecewakan itu disahkan Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), hari ini. Gomez menjalani ujian imbasan, semalam dan ia mendapati otot di bahagian pahanya koyak ketika mengha-rungi perlawanan suku akhir menentang Itali, semalam.

Kecederaan itu memaksanya untuk tidak mampu beraksi bagi keseluruhan kempen, kata DFB.

Pemain tengah Juventus, Khedira pula mengalami kecederaan koyak otot pangkal paha namun tidak begitu begitu serius manakala pemain Manchester United, Schweinsteiger mengalami kecederaan lutut juga ketika menentang Itali.

“Ketika ini kami ragu sama ada Schweinsteiger dan Khedira mampu mengambil bahagian dalam perlawanan di Marseille atau kemungkinan bermain di final di Saint Denis pada Ahad (awal pagi Isnin),” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pemain sedang menjalani rawatan intensif. Juara dunia itu sebelum ini sudah pun kehilangan pertahanan, Mats Hummels bagi aksi separuh akhir disebabkan penggantungan.

Jerman, semalam menang menerusi penentuan penalti 6-5 di Bordeaux ke atas Itali berikutan keputusan 120 minit perlawanan berakhir seri 1-1. Lawan mereka di separuh akhir nanti ialah pemenang di antara tuan rumah, Perancis atau Iceland. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA