Gong Xi FT juarai futsal Njoy

Gong Xi FT juarai futsal Njoy

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Gong Xi FT menang 2-0 ke atas Qahar FT di perlawanan akhir untuk muncul juara Kejohanan Futsal Njoy 2016 sekali gus mencatat rekod menang kesemua perlawanannya dalam kejohanan itu iaitu empat perlawanan peringkat kumpulan dan tiga perlawanan pusingan kalah mati termasuk final.

Pada kejohanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Gong Xi FT selaku juara Kumpulan B berjaya menewaskan naib juara Kumpulan D, Crystle dengan jaringan 2-0 untuk mara ke separuh akhir.

Pada separuh akhir, Gong Xi FT menang tipis 1-0 ke atas naib juara Kumpulan C, Hoyah yang mengalahkan juara Kumpulan A, Kelusus FT dengan jaringan 2-0 pada perlawanan suku akhir.

Qahar FT pula selaku naib juara Kumpulan B mara ke separuh akhir selepas menundukkan juara Kumpulan D, J4F dan kemudiannya mara ke final setelah menjinakkan juara Kumpulan C, S4D, yang menang 1-0 ke atas naib juara Kumpulan A, Policia FC di suku akhir.

Juara Kejohanan Futsal Njoy 2016, Gong Xi FT.
Juara Kejohanan Futsal Njoy 2016, Gong Xi FT.

Kedua-dua kemenangan Qahar FT itu melalui sepakan penalti penentuan selepas terikat dengan kedua-dua pasukan, 0-0 dengan J4F dan 1-1 dengan S4D. Menentang J4F, Qahar FT menang 3-2 manakala di separuh akhir ia menang 7-6 ke atas S4D.

Kejohanan disertai 20 buah pasukan dan telah dibahagikan kepada empat kumpulan itu yang setiap satunya mengandungi lima buah pasukan. Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Juara kejohanan telah menerima hadiah wang tunai $250, sementara naib juara mendapat hadiah wang tunai $150. Tempat ketiga bersama pula masing-masing membawa pulang hadiah sebiji bola futsal.

ARTIKEL YANG SAMA