Google lancar ‘Project Loon’ di Sri Lanka

Google lancar ‘Project Loon’ di Sri Lanka

COLOMBO, 16 Feb – Perkhidmatan Internet kelajuan tinggi yang dijana oleh kuasa belon Google yang digelar “Project Loon” memulakan ujian pertamanya di Sri Lanka kelmarin menjelang rancangan usaha samanya dengan Colombo, menurut pegawai IT tertinggi negara itu.

Satu daripada tiga belon yang akan digunakan dalam cubaan memasuki ruang udara Sri Lanka kelmarin, ujar Ketua Agensi Maklumat dan Teknologi Komunikasi Muhunthan Canagey.

“Belon pertama memasuki ruang udara kami pagi ini. Ia dilancarkan dari Amerika Selatan,” Canagey memberitahu AFP. “Ia kini berada di selatan Sri Lanka.”

Dia berkata pasukan Google hujung minggu ini dijangka menguji kawalan-kawalan penerbangan, kecekapan spektrum dan perkara-perkara teknikal yang lain.

Pihak kerajaan mengumumkan awal bulan ini, ia akan mengambil 25 peratus saham dalam usaha sama dengan Google untuk memberikan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi yang dijana oleh belon-belon helium.

Project Loon ketika diterbangkan dari Amerika Selatan. – Reuters
Project Loon ketika diterbangkan dari Amerika Selatan. – Reuters

Sri Lanka bagaimanapun tidak melabur sebarang modal, namun akan mengambil saham sebagai timbal balik memperuntukkan spektrum bagi projek itu. Sebanyak 10 peratus lagi dalam usaha sama itu akan ditawarkan kepada pembekal-pembekal perkhidmatan yang sedia ada di pulau itu.

Ia menjanjikan liputan yang lebih jauh dan kadar perkhidmatan-perkhidmatan data yang lebih murah.

Para pembekal perkhidmatan akan berupaya untuk mengakses kelajuan tinggi dan meningkatkan kualiti bagi perkhidmatan sedia ada mereka apabila projek belon itu mula dijalankan.

Belon-belon itu, bila sahaja ia berada di stratosfera, akan dua kali lebih tinggi daripada pesawat-pesawat komersial dan hampir tidak dapat dilihat melalui mata kasar. Belon-belon itu mempunyai jangka hayat selama 180 hari, namun dapat dikitari semula, menurut pegawai Sri Lanka yang terlibat dalam usaha sama itu.

Perangkaan rasmi menunjukkan terdapat 3.3 juta pelanggan Internet mudah alih dan 630,000 pelanggan Internet talian tetap dalam kalangan penduduk Sri Lanka yang lebih daripada 20 juta.

Sri Lanka menjadi negara pertama di Asia Selatan untuk memperkenalkan telefon bimbit pada 1989 dan yang pertama memperkenalkan rangkaian 3G pada 2004. Ia juga yang pertama di rantau itu untuk melancarkan rangkaian 4G dua tahun lepas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA