Google sertai UNICEF bantu sebar maklumat Zika

Google sertai UNICEF bantu sebar maklumat Zika

SAN FRANCISCO, 3 Mac (AFP) – Google hari ini mengatakan bahawa ia sedang bekerja dengan UNICEF untuk memetakan penularan Zika dan cuba untuk mengumpul jutaan dolar bagi membantu usaha kumpulan itu di lapangan.

Pasukan sukarelawan terdiri daripada jurutera Google, pereka dan saintis data sedang membantu UNICEF membina satu platform komputer untuk menganalisis data daripada sumber seperti corak cuaca dan perjalanan bagi meramalkan potensi penularan itu, kata pengarah cawangan dana gergasi Internet dalam pos blog.

“Pada dasarnya, matlamat bagi platform sumber terbuka ini adalah untuk mengenal pasti risiko transmisi Zika bagi rantau berlainan dan membantu UNICEF, kerajaan dan NGO memutuskan bagaimana dan di mana untuk memfokuskan masa dan sumber mereka,” kata pengarah Google.org, Jacquelline Fuller.

Bantuan jutaan dolar kepada UNICEF adalah bertujuan untuk mengurangkan bilangan nyamuk, membangunkan diagnostik dan vaksin, membangkitkan kesedaran dan pencegahan, menurut Fuller.

Google juga melancarkan kempen untuk menyelaraskan derma kakitangan, dengan matlamat menyalurkan tambahan $500,000 bagi UNICEF dan usaha Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika untuk memerangi Zika.

Google juga meningkatkan maklumat kesihatan berkaitan virus Zika, dan menambah bilangan bahasa yang mereka salurkan dalam enjin pencarian mereka serta menyokongnya dalam video YouTube yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum, kata Fuller.