Google tamat khidmat Youtube dari Amazon

SAN FRANCISCO, 6 Dis – Google menarik balik perkhidmatan video popularnya, YouTube dari peranti Fire TV Amazon dan Echo Show dalam perselisihan berterusan yang mengakibatkan para pengguna menjadi mangsa perselisihan itu.

Keputusan untuk menyekat YouTube itu adalah sebagai tindakan balas di atas keengga-nan Amazon menjual beberapa produk Google yang turut bersaing dengan gajet Amazon.

Itu termasuklah peranti streaming Chromecast Google, alat alternatif bagi Fire TV dan pembesar suara sambungan Internet yang dipanggil Home, cuba menyaingi Echo, peneraju pasaran Amazon.

Echo Show, keluaran Amazon mempunyai skrin yang boleh memaparkan video.

“Memandangkan kekurangan timbal balik ini, kami tidak lagi menyokong YouTube di Echo Show dan Fire TV,” kata Google dalam kenyataannya semalam.

Gambar fail pada 27 September 2017 menunjukkan alat peranti Fire TV Amazon dan alat kawalan jauhnya. Semalam, Google merancang untuk menarik balik perkhidmatan YouTubenya daripada alat peranti itu yang menyebabkan pelanggannya menjadi mangsa akibat perselisihan dua syarikat terbesar itu. – AP

Amazon tidak segera memberi respons terhadap permintaan supaya mengeluarkan ulasan mengenainya.

Perselisihan itu telah memperlihatkan kuasa yang diraih oleh syarikat-syarikat besar dunia ketika sedang mendominasi kedudukan penting dalam perdagangan dan perhubungan.

Sebagai peruncit atas talian terbesar dunia, Amazon mempunyai pengaruh besar terhadap apa yang dibeli pelanggan, sementara keputusan yang disampaikan oleh enjin carian Google sentiasa membantu menentukan apa yang dikehendaki di dalam dan di luar web.

Google berharap untuk memberi tekanan kepada Amazon untuk menjual produk Google dengan mengambil akses kepada perkhidmatan video paling banyak di dunia. – AP