Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Gotong-royong bersih tanah perkuburan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kulapis dan ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Pehin Khatib Abdullah (PeKA) Kampung Kulapis, baru-baru ini, telah mengadakan acara bergotong-royong menerusi kempen kebersihan di Tanah Perkuburan Islam Larikan Kampung Kulapis.

    Acara kemasyarakatan itu telah melibatkan ahli-ahli jemaah masjid serta penduduk Kampung Kulapis dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) Cawangan Balai Polis Sengkurong dan turut disokong oleh pihak swasta yang berada di Kampung Kulapis termasuk Syarikat Muffairif dan Affico Trading.

    Antara yang hadir bagi sama-sama menyertai acara berkebajikan bersama ahli MPK Kulapis dan AJK Takmir Masjid PeKA berkenaan adalah Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Mohamad Asyramisyanie bin Kamis; Ketua Imam Masjid PeKA, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani; dan 11 orang anggota polis dari Balai Polis Sengkurong yang diketuai oleh S/Sgt 3207 Zamdi bin Jamil.

    Dalam perkongsian pandangan kepada Media Permata, Awang Mohamad Asyramisyanie berkata acara berkenaan sebagai salah satu usaha menyambut baik kehadiran bulan Ramadan, di samping ia juga dilaksanakan untuk terus memupuk semangat kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta serta warga kampung bagi sama-sama menanai kepentingan hidup bermasyarakat lebih-lebih dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

    Adapun acara berkenaan jelasnya merupakan siri kedua kepada program kesejahteraan kampung yang telah dirancang pihak MPK dan AJK Takmir Masjid PeKA setelah ia bermula pada minggu sebelumnya apabila kumpulan yang sama telah menjayakan acara kempen kebersihan yang menumpukan di Masjid PeKA.

    Sementara itu, Awang Abdul Najib juga berkesempatan menyatakan rasa berbesar hatinya atas sambutan dan komitmen semua pihak yang terlibat secara langsung atau pun tidak dalam menjayakan kedua-dua program berkenaan.

    “Mewakili semua pihak yang terlibat kami komited untuk memastikan kelancaran, keselesaan semua jemaah di Masjid PeKA dan ahli-ahli keluarga yang bakal menziarahi pusara ahli-ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah pada sepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya.

    Antara AJK Masjid PeKA dan beberapa wakil agensi kerajaan dan swasta bergambar ramai semasa kempen berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MPK KULAPIS
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...