Gotong-royong bersihkan tanah perkuburan

Gotong-royong bersihkan tanah perkuburan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Mei – Warga Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC) dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang telah bergotong-royong membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Ar Ridhuan Kampung Keluyoh dekat sini, hari ini.

Kerja amal yang dikendalikan oleh Biro Ugama MPM Liang itu telah dipimpin oleh Hajah Hamsiah binti Haji Mohd Husain, dan disertai sama oleh ahli-ahli biro dan MPM berkenaan serta para belia masjid Kampung Sungai Liang.

Kempen itu diadakan bersempena dengan menjelangnya bulan Ramadan kurang sebulan lagi, selain mengeratkan silaturahim antara kakitangan syarikat dan ahli-ahli MPM berkenaan serta sebagai aktiviti kemasyarakatan di kampung itu.

Turut menyertai kempen itu ialah Penghulu Mukim Labi, Haji Abdul Hamid bin Haji Momin, yang melahirkan rasa terima kasih dan berbesar hati melihat penglibatan anak-anak buah kampung dalam kegiatan kerja amal seumpama itu.

Menurutnya, ia dapat menerapkan semangat perpaduan dan muhibah antara satu sama lain.

Kempen turut disertai oleh kalangan belia Mukim Liang.
Kempen turut disertai oleh kalangan belia Mukim Liang.
Kempen membersihkan tanah perkuburan diadakan sempena menjelangnya bulan Ramadan tidak lama lagi.
Kempen membersihkan tanah perkuburan diadakan sempena menjelangnya bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Kerja amal secara gotong-royong akan dapat dilaksanakan bukan saja di peringkat mukim tetapi juga di peringkat negara jika terdapatnya perpaduan kerjasama.

“Sehubungan itu, saya menyeru khususnya anak-anak buah mukim dan kampung ini supaya akan terus menyematkan dan mengekalkan rasa kesefahaman serta kerjasama erat dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum supaya mukim dan kampung yang dikenali sebagai Mukim Industri dan Mukim Pertanian ini akan bertambah maju dan lebih dikenali,” katanya semasa ditemui.

Hadir sama ialah Penolong Pengelola Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Daerah Belait, Awang Mohd Ali bin Hadidi, yang turut melahirkan rasa kagum melihat kesepaduan yang ada di mukim berkenaan, dan juga menyifatkan kerjasama seperti itu juga sebagai muhasabah diri bahawa suatu masa nanti kita juga akan menjadi penghuni di tanah perkuburan.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai disusuli bacaan Tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Imam Pelapis Masjid Kampung Sungai Liang, Awang Mohd Ikhwan bin Irwandy.

ARTIKEL YANG SAMA