Gotong-royong buat kebajikan

Gotong-royong buat kebajikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Sept – Syarikat Swire Pacific Offshore buat pertama kalinya, baru-baru ini, telah menganjurkan Projek Kemasyarakatan dengan membersihkan kawasan Bangunan Kanak-Kanak Cacat (KACA) Kuala Belait, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Projek yang disokong penuh oleh Persatuan KACA yang diwakili oleh Penyelia Cawangan, Awang Ramli bin Haji Awang itu diadakan pada 12 September lalu disertai oleh rombongan sukarelawan yang merupakan kalangan pekerja luar pantai dan pejabat syarikat berkenaan.

Rombongan tersebut bergotong-royong membersihkan kawasan luar dan dalam bangunan, selain mengecat bangunan supaya kelihatan lebih segar dan bersih.

Turut hadir semasa projek itu ialah Ketua Kampung Pandan A, Awang Sulaiman bin Haji Udin.

Pengurus Negara, Danny Chong, hari ini memberitahu, projek tersebut juga merupakan yang pertama diadakan di negara ini sejak syarikat itu mula beroperasi di sini setahun yang lalu.

Sukarelawan Syarikat Swire Pacific Offshore melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di Bangunan KACA Kuala Belait.
Sukarelawan Syarikat Swire Pacific Offshore melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di Bangunan KACA Kuala Belait.
Awang Sulaiman (dua kanan) turut sama menghadiri Program Kemasyarakatan Syarikat Swire Pacific Offshore.
Awang Sulaiman (dua kanan) turut sama menghadiri Program Kemasyarakatan Syarikat Swire Pacific Offshore.

“Kami percaya ia bukan hanya untuk sekali tetapi akan menjadi aktiviti utama, dan kami kekal komited sebagai sebuah syarikat serta individu,” tambahnya.

Menurutnya lagi, syarikat mereka akan menjadikan projek kemasyarakatan sebagai aktiviti tahunan di masa-masa akan datang.

Pekerja luar pantai tempatan merupakan pasukan yang dibangunkan oleh Syarikat Swire Pacific Offshore dan telah dilatih sejak awal operasi perniagaan yang mampan, kesemua mereka yang terlibat dalam aktiviti CSR itu begitu bersemangat serta melibatkan diri secara positif dalam melaksanakan kerja gotong-royong.

Pengurus Projek syarikat itu, Dayang Nor Amalia memberitahu, ini merupakan peluang yang berharga untuk pasukan di syarikat mereka, dan dalam masa yang sama akan melakukan sesuatu menyokong antara satu sama lain, yang mana semangat seperti itu perlu sentiasa ada dalam kalangan masyarakat tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA