Gotong-royong budaya kita

Gotong-royong budaya kita

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

TUTONG, 14 Jun – Bulan Ramadan Al-Mubarak bakal menjelang dalam masa beberapa hari sahaja lagi, aktiviti keagamaan dan kebajikan semakin giat dilaksanakan, seperti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam.

Badan Perhubungan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Daerah Tutong adalah antara yang tidak ketinggalan memulakan aktiviti bersempena bulan Ramadan dengan mengadakan Kempen Gotong-Royong Membersihkan Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Teliting Kampung Petani, di sini, hari ini.

Lebih 30 orang dalam kalangan ahlinya menyertai kempen berkenaan, yang turut disertai oleh Naib Presiden NDP Daerah Tutong, Dato Haji Ismail bin Haji Ibrahim, serta beberapa ahli Majlis Tertinggi dan Himpunan Wanita (HAWA) NDP daerah ini.

Kerja-kerja membersihkan tanah perkuburan itu juga telah diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah yang telah dipimpin oleh Bendahari Agung NDP, Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Yusof.

Kempen ini bertujuan untuk mengeratkan lagi perpaduan di antara ahli-ahli dan masyarakat sekeliling.

Di antara yang menyertai Kempen Gotong Royong Membersihkan Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Teliting Kampung Petani, Tutong.
Di antara yang menyertai Kempen Gotong Royong Membersihkan Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Teliting Kampung Petani, Tutong.
Gambar ramai bersama yang terlibat dalam Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan Los Tanjung, Kuala Belait.
Gambar ramai bersama yang terlibat dalam Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan Los Tanjung, Kuala Belait.

Melalui aktiviti sedemikian turut memberikan peluang kepada ahli-ahlinya untuk berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dalam membangunkan lagi institusi pertubuhan bagi memastikan setiap kerja yang dilaksanakan berjalan lancar dan berjaya.

Sementara itu, di Daerah Belait, Bahagian Dakwah Kuala Belait, Persatuan Sinar Islam Belait, Badan Kebajikan Guru Ugama Kuala Belait dan Ahli Jawatankuasa Sukarelawan Kampung Panaga 2000 Seria turut bekerjasama mengadakan aktiviti seumpamanya di tanah perkuburan orang-orang Islam di Los Tanjung, Kuala Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyertai kempen berkenaan ialah Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap.

Turut hadir ialah Pegawai Ugama Bahagian Dakwah Kuala Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu serta Ketua Pengawasan Kejiranan Kampung Panaga 2000, Haji Hassan bin Tuah selaku pengerusi kempen berkenaan.

Kira-kira 50 orang telah menyertai kempen tersebut yang turut diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah setelah selesai kerja-kerja pembersihan kawasan tanah perkuburan.

Menurut Haji Hassan, kempen itu antara lain bertujuan untuk memupuk semangat kejiranan dan menyemai kesedaran tentang pentingnya amalan menziarahi dan membersihkan tanah perkuburan dari semasa ke semasa.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada penduduk kampung, khususnya dalam kalangan belia-belia sebagai penyambung warisan, mengenai sikap bermasyarakat supaya kerja gotong-royong dapat diteruskan dan tidak mudah ditelan zaman.

ARTIKEL YANG SAMA